31 peserta himpunan dikompaun RM2,000 setiap seorang

31 peserta himpunan dikompaun RM2,000 setiap seorang

Polis mengenakan tindakan itu selepas mereka menghadiri perhimpunan memperingati mangsa yang maut akibat Covid-19 di Dataran Merdeka.

Polis berkata, kertas siasatan dibuka di bawah peruntukan undang-undang termasuk Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
PETALING JAYA:
Polis mengeluarkan kompaun RM2,000 kepada semua 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang menghadiri perhimpunan memperingati mangsa yang maut akibat Covid-19 di Dataran Merdeka, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Delhan Yahaya berkata, kompaun dikeluarkan selepas polis selesai mengambil keterangan mereka yang terbabit dalam perhimpunan berkenaan.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah peruntukan undang-undang termasuk Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Kita dapati seramai 31 orang terdiri daripada ahli SSR berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang warna putih.

“Semua yang terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan.

“Polis telah membuka kertas siasatan di bawah peruntukan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Sebaik keterangan selesai diambil, kompaun sebanyak RM2,000 dikeluarkan kepada setiap seorang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perhimpunan anjuran SSR itu lebih 30 peserta hadir bagi memperingati mereka yang kehilangan nyawa disebabkan Covid-19.

Seramai 17 peserta lelaki dan 14 wanita yang mengambil bahagian dalam himpunan itu ditahan dan dihantar ke IPD Dang Wangi.

Antara peserta yang ditahan adalah penganjur #Lawan Mohammad Asraf Sharaf, pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri, dan Sarah Irdina Mohamad Ariff yang juga pengasas kumpulan belia, Misi Solidariti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.