
Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada individu yang ditembak mati itu adalah perancang utama kegiatan penculikan dan semua mereka merancang untuk melakukan penculikan terhadap pemilik ladang kelapa sawit di kawasan pulau berkenaan.
Katanya, pasukan keselamatan kemudian berjaya menembak mati dua lelaki disyaki kumpulan militan Abu Sayyaf dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan.
“Polis berjaya merampas senjata api digunakan kedua-dua suspek di lokasi kejadian dan menahan 25 lelaki di kawasan sama.
“Hasil pemeriksaan lanjut, tujuh daripada 11 lelaki warga Filipina yang ditahan dikenal pasti adalah ahli Abu Sayyaf, manakala lapan daripada 14 lelaki warga Indonesia dibebaskan selepas majikan mereka menunjukkan dokumen dan permit kerja,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Hazani berkata, dalam serbuan itu pihaknya percaya beberapa lelaki berjaya melarikan diri dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.
“Hasil maklumat diperoleh, polis dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melancarkan operasi di kawasan perumahan pekerja Ladang Borhill,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua ahli kumpulan militan Abu Sayyaf ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Pulau Timbang, awal pagi tadi.