Yan, Kuala Muda diisytihar Kawasan Bencana Tahap 1, kata MB Kedah

Yan, Kuala Muda diisytihar Kawasan Bencana Tahap 1, kata MB Kedah

Banjir kilat dan fenomena 'kepala air' di kedua-dua daerah itu petang semalam setakat ini meragut tiga nyawa.

Setakat operasi 1 pagi tadi, tiga mangsa ditemui maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, manakala tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Daerah Yan dan Kuala Muda diisytiharkan sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan arahan tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan banjir kilat dan serangan “kepala air” semalam.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua agensi kerajaan dan badan berkanun berkaitan pengurusan operasi bencana sedang mengambil pelbagai langkah perlu bagi memastikan musibah yang melanda ditangani dengan berkesan.

Katanya, pihak swasta dan badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan mencukupi bawah penyelarasan MKN.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita susulan banjir kilat dan fenomena “kepala air” di kedua-dua daerah terbabit petang semalam yang meragut beberapa korban dan menjejaskan kehidupan penduduk.

“Saya bagi pihak pimpinan kerajaan negeri dan pegawai tadbir mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih yang amat mendalam dengan setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kejadian itu.

“Kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Sanusi turut mengingatkan orang ramai terutama petugas kerajaan dan sukarelawan yang turun membantu di lapangan sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih berlegar di persekitaran.

Setakat operasi 1 pagi tadi, tiga mangsa ditemui maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, manakala tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun.

Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa hilang itu diteruskan pada 8.30 pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, tiga mangsa belum dikenal pasti identiti itu antara 22 penduduk di kawasan berkenaan yang terjejas akibat bencana itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.