
Katanya, Ismail boleh dan patut menawarkan cadangan yang diusulkan Muhyiddin sebagai tanda muhibah dan isyarat bahawa beliau mempraktikkan “politik baharu” seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong.
Selepas dua jam menghadap Agong pada Selasa, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Agong menyeru para pemimpin bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi dan Covid-19.
Agong dan timbalannya, Sultan Perak, menerima menghadap pemimpin PKR, DAP, Amanah, Umno, PAS dan Pejuang susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Isnin.
Pada 13 Ogos, Muhyiddin membuat tawaran kepada semua parti dengan mengusulkan rangka kerja kerjasama politik bipartisan. Beliau mencadangkan beberapa pembaharuan.
Antaranya adalah peruntukan setara buat semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri selama dua penggal dan rang undang-undang antilompat parti.
Usul-usul lain yang dicadangkannya adalah melaksanakan inisiatif Undi 18 tanpa menunggu pendaftaran pemilih automatik dan memberi ketua pembangkang status menteri kanan untuk mengiktiraf peranan dimainkan pembangkang.
Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, jika Ismail dapat melaksanakan beberapa pembaharuan ini apabila menjadi perdana menteri, beliau bukan sahaja akan memperkukuh sistem politik dan tadbir urus, tetapi meninggalkan warisan yang berkekalan.
“Untuk memastikan kestabilan politik hingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15), beliau juga harus menawarkan pembangkang perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA),” katanya.
Bagaimanapun, Charles Santiago daripada DAP mempersoalkan pencalonan Ismail dengan berkata, “beliau belum benar-benar membuktikan nilainya dari segi dasar, idea baharu atau pencapaian”.
Katanya, langkah Barisan Nasional (BN) menamakan Ismail sebagai calon perdana menteri bererti gabungan berkenaan tidak menuruti titah Agong agar semua parti politik bekerjasama sebagai satu pasukan.