Polis tahan 31 peserta himpunan peringati mangsa kematian Covid-19

Polis tahan 31 peserta himpunan peringati mangsa kematian Covid-19

Peserta yang terdiri daripada 17 lelaki dan 14 wanita, ditahan ketika mengambil bahagian dalam himpunan diadakan di Dataran Merdeka malam ini.

Beberapa peserta dilaporkan diperlakukan dengan kasar ketika menghadiri perhimpunan di Dataran Merdeka untuk memperingati mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Lebih 30 peserta himpunan memperingati mereka yang kehilangan nyawa disebabkan Covid-19, anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), ditahan di Dataran Merdeka malam ini.

Seramai 17 peserta lelaki dan 14 wanita yang mengambil bahagian dalam himpunan itu ditahan dan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Antara peserta yang ditahan adalah penganjur #Lawan Mohammad Asraf Sharaf, pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri, dan Sarah Irdina Mohamad Ariff yang juga pengasas kumpulan belia, Misi Solidariti.

Seramai enam anggota PSM turut ditahan sekitar jam 8.45 malam, kata ahli jawatankuasa pusatnya, Sharan Raj kepada FMT.

MyKad peserta juga dirampas, menurut aktivis hak asasi Nalini Elumai.

“Kita perlu menolak intimidasi,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Nalini, yang menyediakan bantuan kepada peserta yang ditahan turut mendakwa peguam dilarang daripada berjumpa anak guam mereka.

Dalam hantaran di Twitter, Qyira berkata, dia bersama wanita muda yang lain “telah diheret” ke IPD Dang Wangi.

Sebilangan besar daripada mereka dilihat diperlakukan dengan kasar dan dibawa masuk ke dalam trak Black Maria yang sedang menunggu.

Peserta juga didengar berulang kali menuntut polis untuk menyatakan sama ada mereka ditahan, bagaimanapun pertanyaan mereka tidak diendahkan.

Amnesty International Malaysia menyifatkan penahanan mereka yang mengambil bahagian dalam himpunan itu sebagai “mengejutkan.”

“Kita layak untuk bersedih dan berkabung. Kita mempunyai hak kebebasan bersuara.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.