
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, dilapor berkata Siti Bainun Ahd Razali akan didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak.
Dilaporkan Siti akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Peguamnya, Tetuan Chambers of Aminahtul Mardiah, mengesahkan Siti akan dituduh bagi kesalahan pengabaian, dan bukan penderaan seperti ditularkan di media sosial.
“Perlu ditekankan di sini pertuduhan yang dikenakan tidak ada kaitan sama sekali dengan…’penderaan’ yang dikatakan secara meluas sebelum ini dan ianya hanyalah berkaitan dengan pengabaian,” katanya dalam kenyataan diterima FMT.
Siti sebelum ini dikaitkan dengan kes penderaan seorang remaja penghidap Sindrom Down. Beliau menegaskan tiada penderaan berlaku terhadap remaja OKU itu.
Menurut peguam, dalam perbualan dengan pegawai penyiasat kes, pihaknya mendapat kepastian bahawa Siti akan dituduh bagi kesalahan “pengabaian”.
“Pendakwaan di bawah kesalahan pengabaian secara spesifik,” katanya.
Tambahnya, dakwaan mengatakan Siti melakukan penderaan adalah tidak tepat, dan pihaknya diarah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyebarkan dakwaan itu “sebelum ini dan pada masa akan datang”.
Katanya, Siti berhasrat untuk “membersihkan nama beliau daripada pertuduhan yang dikemukakan ke atas beliau melalui proses mahkamah”.