
Peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili Family Frontiers dan enam ibu terbabit berkata, hakim Akhtar Tahir menolak permohonan itu hari ini kerana menganggap tiada keadaan istimewa untuk membolehkan penangguhan prosiding yang telah ditetapkan untuk bermula pada Selasa.
“Hakim menolak permohonan itu tanpa kos,” katanya kepada FMT.
Gurdial berkata, perbicaraan perlu diselesaikan segera kerana melibatkan perbincangan isu perlembagaan yang penting.
Sementara itu, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan kerajaan esok terhadap keputusan Akhtar pada 6 Mei lalu, berhubung isu substantif.
Dalam keputusannya itu, Akhtar memutuskan perbicaraan perlu diteruskan kerana nampak wujud diskriminasi terhadap si ibu (berhubung isu menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anaknya), namun tiada justifikasi untuknya.
Sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan itu, prosiding pada 24 Ogos ini terpaksa ditangguhkan.
Family Frontiers dan enam ibu terlibat memfailkan saman untuk memohon pengisytiharan mahkamah bahawa beberapa peruntukan – khususnya Perkara 14(1)(b) dan Seksyen 1(b) serta 1(c) di bawah Jadual Kedua Perlembagaan – tidak sah kerana bersifat mendiskriminasi terhadap wanita.
Mereka mendakwa perlembagaan hanya membenarkan seorang ayah menurunkan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar persekutuan, tetapi ini tidak terpakai bagi seorang ibu.