Beri masa kepada lantikan politik dalam GLC, GLIC, saran penganalisis

Beri masa kepada lantikan politik dalam GLC, GLIC, saran penganalisis

Ini supaya mereka dapat memainkan peranan agar peralihan yang bakal berlaku tidak menjejaskan operasi organisasi, kata penganalisis.

Penganalisis politik berkata, keadaan semasa negara yang berdepan krisis ekonomi akibat Covid-19 perlu diambil kira.
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berpendapat, semua lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu diberi sedikit ruang sebelum mereka turut berundur susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ini supaya mereka dapat memainkan peranan agar peralihan yang bakal berlaku tidak menjejaskan operasi organisasi, kata Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Keadaan semasa negara yang berdepan krisis ekonomi akibat Covid-19 perlu diambil kira, tambahnya.

“Amalan lantikan politik dalam sesuatu jawatan GLC dan GLIC sudah sekian lama berlaku, maka tidak hairan apabila kerajaan berubah, mereka yang dilantik secara politik turut terkesan.

“Saranan Nik Nazmi sememangnya wajar namun dalam keadaan negara berdepan cabaran ekonomi yang sukar akibat wabak Covid-19, mungkin perlu diberi sedikit ruang untuk mereka menyelesaikan tugasan agar peralihan yang bakal berlaku tidak menjejaskan operasi organisasi,” katanya.

Nik Nazmi dalam catatannya di Facebook turut berkata, kerajaan baharu yang bakal terbentuk wajib melantik mereka yang profesional dan layak mengisi jawatan terbabit, bukannya dibuat berdasarkan perkiraan politik semata-mata dan saranan ini dialu-alukan oleh Tony.

“Ini merupakan langkah pragmatik dan wajar dilakukan dan jika ini dapat dilaksana, ini adalah satu reformasi ke arah tadbir urus yang baik (good governance).

“Ini juga secara tidak langsung menghentikan amalan politik naungan,” kata Tony, sambil menambah, Nik Nazmi juga perlu mengotakan kata beliau jika PH (Pakatan Harapan) menjadi kerajaan dengan tidak melakukan perkara yang sama.

Terdahulu Nik Nazmi berkata di Facebook bahawa semua lantikan politik oleh Muhyiddin dalam GLC dan GLIC perlu meletakkan jawatan segera susulan pengunduran pemimpin itu sebagai perdana menteri.

Katanya, kebanyakan GLC dan GLIC diselia secara profesional dan peletakan jawatan mereka tidak terlalu memberi kesan.

Susulan itu, seorang Ahli Parlimen Bersatu Sabah menegaskan beliau tidak akan mengosongkan jawatannya dalam GLC.

Ahli Parlimen Beaufort Azizah Dun, yang juga pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), berkata, pihak yang mendesak pemimpin Bersatu yang dilantik ke GLC agar meletakkan jawatan sepatutnya menyemak semula Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Srikandi Bersatu Sabah itu berkata, mengikut Perlembagaan sejurus perdana menteri meletakkan jawatan hanya Jemaah Menteri yang akan gugur kedudukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.