
Antara pemimpin PAS yang hadir di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur adalah Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agong Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.
Turut kelihatan penasihat Barisan Nasional Najib Razak yang juga bekas perdana menteri.
Ini susulan Ahli Parlimen BN semalam membuat keputusan akan menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.
Difahamkan PAS dengan 18 Ahli Parlimennya turut bersetuju memberi sokongan padu kepada naib presiden Umno itu untuk dilantik menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Isnin lalu.
Takiyuddin antara yang pertama dilihat meninggalkan ibu pejabat itu, namun tidak memberi sebarang komen mengenai perincian mesyuarat berkenaan.
Beberapa petugas media juga berkumpul di Ibu Pejabat Umno untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai calon perdana menteri.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi memberitahu, perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak perlu diteruskan hari ini walaupun bekas perdana menteri itu memohon untuk menghadiri mesyuarat BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah akan ditangguhkan sebentar pada 10.30 pagi bagi membolehkan Najib ke ibu pejabat Umno sebelum bersambung pada jam 2.30 petang.