
Istana Negara dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bertujuan mengabsahkan individu berkenaan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Katanya, surat akuan 220 ahli Dewan Rakyat hanya bertujuan membantu baginda membuat keputusan melantik seorang Ahli Parlimen yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada Istana Negara pada hari ini sebelum 4 petang,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan.
Beliau berkata, Sultan Abdullah turut mengingatkan Ahli Parlimen yang menang supaya bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak harus bersedia bekerja dalam satu pasukan.
“Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua, manakala yang kalah pula tidak kalah semua.”
Beliau berkata, Agong berpandangan rakyat tidak wajar dibebani kemelut politik tidak berkesudahan dan pada masa sama, negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan pilihan raya umum ke-15 bukan pilihan terbaik ketika ini.”
Oleh itu, Agong berpandangan Ahli Parlimen perlu bersatu hati untuk mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti politik dengan memfokuskan isu semasa serta menjernihkan kembali kekusutan dalam kadar segera.
Agong turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya mempamerkan solidariti dengan terus memberikan komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, ketika majoriti petugas barisan hadapan dalam keletihan serta fasiliti kesihatan negara dalam situasi membimbangkan akibat peningkatan kes Covid-19.
Baginda bertitah perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik Covid-19, termasuk program vaksinasi dan Pelan Pemulihan Negara perlu diteruskan.
Dalam pada itu, Agong akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu mengenai isu semasa pada Jumaat ini.