P Pinang mohon derma untuk pusat baharu ketika kes serius cecah 40%

P Pinang mohon derma untuk pusat baharu ketika kes serius cecah 40%

Disebabkan kes Kategori 4 dan 5 kian meningkat, ketua menteri memohon sumbangan untuk tabung dan peralatan perubatan bagi membina pusat merawat pesakit serius.

Kontraktor giat menjadikan dewan Kompleks Masyarakat Penyayang sebagai pusat merawat kes serius Covid-19. (Gambar pejabat ketua menteri)
GEORGE TOWN:
Dengan 40% kemasukan kes Covid-19 ke hospital di Pulau Pinang melibatkan kes serius yang mengalami kesukaran bernafas, negeri itu merayu sumbangan untuk menubuhkan sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) secepat mungkin.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjadikan Kompleks Masyarakat Penyayang, yang sebelum ini digunakan sebagai pusat pemberian vaksin, sebagai PKRC untuk menangani peningkatan jumlah pesakit Kategori 4 dan 5.

Katanya, pusat itu akan dilengkapi 97 katil yang menawarkan rawatan oksigen, dengan kerja penukaran kemudahan di Jalan Scotland itu bermula semalam.

Beliau berkata, peralatan perubatan yang diperlukan adalah: katil resusitasi untuk pesakit kritikal (dua), monitor tanda vital (lapan), elektrokardiogram (ECG, satu), set diagnostik otoskop oftalmoskop (satu), troli kecemasan (satu), penyedut mudah alih (satu), kotak paparan x-ray (satu), laringoskop video (satu), ventilator pengangkutan (satu), defibrilator manual (satu), pam picagari (20), troli carta perubatan (tiga), dispenser air (10) dan kabinet perubatan (satu).

Bagi peralatan bukan perubatan, negeri itu memerlukan khemah yang dilengkapi kipas dan palam elektrik (dua), kaunter swab (dua), kipas industri (10), kerusi roda (20), almari linen (dua), papan putih beroda (empat), komputer riba (10), pencetak (dua) dan kabel sambungan kuasa (10).

Chow berkata, mereka yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi Dr Lingeshwaran R Arunasalam (012-594 4347) atau Abdul Halim Abd Hamid (012-407 3200) di Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

Katanya, mereka yang mahu menderma wang boleh berbuat demikian melalui Tabung Covid-19 Pulau Pinangdi 5570 5462 0930 (Maybank).

Chow Kon Yeow memegang plakad tertera nombor akaun Tabung Covid-19 Pulau Pinang untuk orang ramai derma bagi penubuhan pusat Covid-19 menjelang Jumaat ini. Turut hadir EXCO Kesihatan negeri, Norlela Ariffin.

Lonjakan kes akibat ujian antigen

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Asmayani Khalib berkata, sebanyak 1,867 kes yang dicatatkan di Pulau Pinang hari ini berpunca daripada kilang, kes sporadik dan bergejala.

Katanya, jumlah kes yang merupakan rekod tertinggi itu juga berpunca daripada penggunaan ujian antigen (keputusan ujian diperolehi segera) sejak minggu lalu untuk perubahan segera, selepas kadar positif melonjak melebihi 10%.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan ambang untuk negara bagi memastikan kadar kepositifan Covid-19 mereka di bawah 5% setiap minggu.

Asmayani berkata, ujian antigen mencatatkan 1,257 kes positif hari ini.

“Ujian antigen membolehkan kita segera mengasingkan kes positif berbanding masa lebih lama diperlukan untuk mengetahui keputusan ujian Rt-PCR,” katanya yang sebelum ini merupakan pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

Daerah Seberang Perai Tengah terus menjadi titik panas Covid-19 di Pulau Pinang, dengan 738 kes dilaporkan hari ini, kebanyakannya berpusat di Juru dan Bukit Tengah.

Kepala Batas dan Butterworth terus menjadi lokasi panas di Seberang Perai Utara, dengan 485 dan 465 kes dicatatkan sejak dua minggu lalu. Bukit Tambun dan Simpang Ampat merekodkan 376 dan 438 kes dalam tempoh sama.

Di bahagian pulau, kawasan Bayan Baru, termasuk Zon Perindustrian Bebas mencatatkan jangkitan tertinggi sejak dua minggu lalu, dengan 1,097 kes, disusuli Mukim 13 (Bandar Baru Air Itam, Paya Terubong dan Relau) dengan 817 kes dalam tempoh sama.

Keseluruhannya, sebanyak 64,704 kes, dengan 8,248 kes aktif, 335 kematian dan 15,507 kes dicatatkan dalam dua minggu ini, manakala pesakit pulih pula seramai 56,121 orang.

Pulau Pinang sudah memberikan 962,161 atau 54% dos pertama vaksin Covid-19 kepada penduduk sasaran seramai 1.3 juta orang setakat 15 Ogos lalu, manakala dos kedua sebanyak 506,626 atau 28%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.