Jurutera, penolong jurutera antara 5 ditahan kes rasuah

Jurutera, penolong jurutera antara 5 ditahan kes rasuah

Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan sekolah tahfiz.

Semua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor antara pukul 1.30 tengah hari hingga 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.
SHAH ALAM:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan lima individu termasuk seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM130,000.

Sumber SPRM berkata, dua lagi yang ditahan adalah penolong jurutera sebuah jabatan kerajaan, manakala dua lagi ialah pengurus syarikat kontraktor. Semua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor antara pukul 1.30 tengah hari hingga 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

Katanya, sekitar tahun 2019 hingga tahun lepas, jurutera dan seorang penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah berkenaan.

“Difahamkan kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek itu, namun telah menggunakan nama beberapa syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.

“Sementara itu seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakui kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan itu,” katanya.

Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada pukul 9 pagi hari ini untuk permohonan reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.