Sokong Ismail calon PM? Muhyiddin umum pendirian PN petang ini

Sokong Ismail calon PM? Muhyiddin umum pendirian PN petang ini

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Naaman berkata semua pimpinan Bersatu diminta "kunci mulut" sehingga Muhyiddin membuat pengumuman rasmi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Naaman, berkata Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman rasmi mengenai calon perdana menteri baharu.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman mengenai pendirian gabungan itu berhubung calon perdana menteri petang ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Naaman berkata, semua pimpinan Bersatu diminta “kunci mulut” sehingga Muhyiddin membuat pengumuman rasmi.

“Ya. Semalam saya baca pun akan ada pengumuman baik daripada Muhyiddin.

“Pagi tadi kami dimaklumkan Muhyiddin akan buat pengumuman tentang keputusan dan pendirian PN berkenaan pencalonan Ismail Sabri atau kita punya pendirian.

“Kami diminta ‘kunci mulut’ siapa PN akan sokong sebagai perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Muhyiddin yang meletak jawatan perdana menteri bersama seluruh Kabinet Isnin lalu dijangka membawa “berita gembira” hari ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut tentang “berita gembira” yang disebutkan dan menyerahkannya kepada Muhyiddin untuk berbuat demikian.

Semalam, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara memilih Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman selepas menghadiri mesyuarat bersama 42 Ahli Parlimen BN.

Tajuddin berkata, Ismail akan turut mendapat sokongan kuat daripada Ahli Parlimen Bersatu dan PAS untuk membolehkannya memperoleh majoriti mudah 111 kerusi di Dewan Rakyat.

Pencalonan Ismail sebagai perdana menteri baharu oleh BN turut disahkan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

Beliau berkata, Ismail memiliki beberapa kelebihan untuk memperoleh keyakinan Ahli Parlimen BN, termasuk 38 daripada Umno sendiri.

Ismail dilantik timbalan perdana menteri pada Julai lalu selepas menjadi menteri kanan dalam Kabinet Muhyiddin Yassin yang berundur daripada jawatan tertinggi itu selepas hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Semalam, semua Ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-9 kepada Istana Negara

Ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya 4 petang ini untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.