
Menerusi perkongsian di Facebook Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit memaklumkan pegawai khasnya, Muzaini Azizan, berada di lokasi banjir kilat di Kampung Sungai Badak, Gurun.
Sabri berkata, hujan lebat di Gunung Jerai mengakibatkan air sungai melimpah ke semua tempat dan beberapa rumah berdekatan sungai turut terjejas teruk.
Beliau berkata, selain Sungai Badak Gurun, terdapat lokasi lain turut ditimpa nasib sama seperti Singkir, Teroi dan juga beberapa lagi kawasan sekitar Yan.
“Tindakan awal telah diambil dengan membantu memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat.

“Kita bimbang jika mereka berterusan tinggal di kediaman mereka dengan keadaan hujan lebat ini kejadian tidak diingini boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan beberapa taman perumahan di sekitar bandar Yan turut mengalami nasib sama.
Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (Rekey), Mohammad Firdaus Mohamad, 36, yang juga antara mangsa banjir tinggal di kawasan itu, berkata kejadian berlaku cukup pantas dan tidak dijangka.
“Dari pagi hujan lebat di atas Gunung Jerai, namun di bawah ini hujan tidak begitu lebat.
“Secara tiba-tiba, dalam pukul 3 petang, kepala air berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Seri Perigi. Air sangat kuat dan deras, sehingga merosakkan kawasan itu,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Firdaus berkata, kampung yang berada di kaki Gunung Jerai juga dinaiki air dan paling teruk berdekatan sungai. Malah, pekan Yan yang terletak di tepi laut juga turut mengalami banjir
“Paras air laut pula kebetulan ketika ini agak tinggi atau digelar air mati. Jadi ia menyebabkan banjir lambat surut,” katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, mereka menerima banyak laporan dan sedang menjalankan operasi.