Warganet berang pesakit Covid-19 dirawat sebelah longkang

Warganet berang pesakit Covid-19 dirawat sebelah longkang

Pesakit yang memerlukan bekalan oksigen terpaksa dirawat di bawah laluan pejalan kaki berbumbung.

Tidak kira hujan atau panas terik, pesakit Covid-19 yang memerlukan bekalan oksigen akan dirawat di laluan bersebelahan longkang di luar Hospital Bukit Mertajam.
GEORGE TOWN:
Dua klip video menunjukkan pesakit Covid-19 menerima rawatan bersebelahan longkang yang dilimpahi air di luar Hospital Bukit Mertajam menyebabkan warganet berang dengan keadaan itu.

Difahamkan, selepas hujan lebat, air mula melimpah dari longkang bersebelahan laluan pejalan kaki berbumbung yang dibina untuk pesakit mengalami kesukaran bernafas bagi mendapatkan bekalan oksigen mereka.

Hanya terdapat bumbung beralun di laluan pejalan kaki itu menyebabkan pesakit terkena tiupan angin.

Bukit Mertajam, iaitu bandar utama di daerah Seberang Perai Tengah, mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi di Pulau Pinang sejak beberapa minggu lalu menyebabkan keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada empat angka.

Semalam, 449 kes baharu direkodkan di daerah itu sahaja, meningkat sekali ganda berbanding empat daerah lain di negeri itu. Penyumbang utamanya nampaknya ialah kawasan Perai dan Juru yang mencatatkan lebih 1,500 kes baharu sejak dua minggu lalu.

Hospital Bukit Mertajam ialah sebuah daripada dua pusat Covid-19 utama di daerah itu dengan satu lagi ialah Hospital Seberang Jaya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, beliau sudah meminta kerajaan memberikan lebih banyak peruntukan untuk menaik taraf hospital berusia lebih 100 tahun itu.

Dalam masa sama katanya, seorang penaja sudah berbincang dengan pihak berkuasa hospital itu mengenai rancangan memperluaskan wad kecemasan dengan kos kira-kira RM110,000.

Sim, yang menyumbang hampir RM50,000 kepada hospital itu berkata, kerja pembinaan itu dijangka bermula tidak lama lagi.

Akhir bulan lalu, hospital yang dilengkapi 242 katil itu dijadikan hospital hibrid Covid-19 dengan 120 katilnya dikhaskan untuk tujuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.