Hospital Bukit Mertajam pindah ‘wad’ sementara dari longkang

Hospital Bukit Mertajam pindah ‘wad’ sementara dari longkang

Penambahbaikan sedang dilakukan di hospital itu selepas video tular menunjukkan pesakit menerima rawatan bersebelahan longkang yang dilimpahi air.

Pesakit terpaksa berdepan keadaan hujan, angin dan dinaiki air di wad sementara bersebelahan longkang.
GEORGE TOWN:
Hospital Bukit Mertajam akan memindahkan wad Covid-19 sementara di luar bangunan ke tempat lain, selepas warganet terkejut dan berang susulan klip video menunjukkan pesakit menerima rawatan bersebelahan longkang yang dilimpahi air.

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, wad sementara itu pada awalnya dibuka untuk penilaian Covid-19, tetapi kemudiannya digunakan untuk merawat pesakit disebabkan peningkatan jumlah kes.

Dalam masa sama katanya, ia merujuk pesakit Covid-19 ke hospital lain dan pusat kuarantin.

“Rancangan sedang dilakukan untuk memindahkan zon itu ke kawasan lebih selesa, termasuk langkah meningkatkan keselamatan dan keselesaan pesakit di sana.”

Difahamkan, susulan hujan lebat semalam, air mula melimpah dari longkang bersebelahan laluan pejalan kaki berbumbung yang dibina untuk pesakit mengalami kesukaran bernafas bagi mendapatkan bekalan oksigen mereka

Hanya terdapat bumbung beralun di laluan pejalan kaki itu menyebabkan pesakit terkena tiupan angin, hujan atau kenaikan air.

Bukit Mertajam, iaitu bandar utama di daerah Seberang Perai Tengah, mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi di Pulau Pinang sejak beberapa minggu lalu menyebabkan keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada empat angka.

Hospital Bukit Mertajam ialah sebuah daripada dua pusat Covid-19 utama di daerah itu dengan satu lagi ialah Hospital Seberang Jaya.

Akhir bulan lalu, hospital yang dilengkapi 242 katil itu dijadikan hospital hibrid Covid-19 dengan 120 katilnya dikhaskan untuk tujuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.