
Dia berkata, pegawai kerajaan tidak boleh membisu mengenai perkara itu, jika tidak mereka boleh dilabel sebagai “tidak ada beza dengan kerajaan persekutuan”.
Lim berkata, bekalan vaksin amat penting ketika Pulau Pinang menyaksikan rekod tertinggi kes Covid-19 dengan angka melebihi 1,000 kes setiap hari namun permintaan vaksin berada pada paras yang “terdesak”.
Setiausaha Agung DAP itu turut mempersoalkan di manakah lapan juta bekalan vaksin Sinovac yang dijanjikan kepada negeri terbabit bulan lalu.
“Kurang ketelusan dan kebertanggungjawaban serta tadbir urus yang lemah menjadi antara punca kerajaan PN di bawah Muhyiddin Yassin gagal.
“Berbeza dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri mesti menunjukkan bagaimana ketelusan dan kebertanggungjawaban ini boleh membantu demi kepentingan rakyat.
“Wakil rakyat daripada Pakatan Harapan harus berani bersuara untuk memperbaiki semula kegagalan yang dilakukan oleh pegawai kerajaan ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam perkembangan lain, Lim berkata, salah sebuah PPV swasta di Juru, iaitu lokasi yang menjadi penyumbang utama kes Covid-19 di negeri itu akan meneruskan perkhidmatan bermula esok.
Katanya, nasib PPV lain yang terpaksa ditutup masih tidak diketahui.
PPV yang berdepan kekurangan bekalan vaksin digalakkan membuat aduan kepada wakil rakyat PH yang akan bersuara untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Sabtu lalu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengumumkan bahawa empat PPV awam akan ditutup disebabkan kekurangan bekalan vaksin, iaitu di Kompleks Sukan Balik Pulau, Balai Rakyat Bayan Baru, Tapak Pesta di Sungai Nibong dan Dewan Millennium di Kepala Batas.
Mereka yang sepatutnya menerima dos kedua vaksin Pfizer antara 15 dan 19 Ogos terpaksa dijadualkan semula ke 22 hingga 26 Ogos.
Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak tarikh temu janji yang baharu itu pada aplikasi MySejahtera.
Terdapat 103 pusat vaksinasi di seluruh negeri itu dan 58 daripadanya terdiri daripada klinik swasta.