Buka semula pusat kecergasan, sukan bagi individu lengkap divaksin, rayu persatuan

Buka semula pusat kecergasan, sukan bagi individu lengkap divaksin, rayu persatuan

Kira-kira 100 gimnasium dan kemungkinan banyak lagi, mungkin ditutup sekali gus menyebabkan peningkatan dalam pengangguran.

Kebenaran aktiviti berjoging dan berbasikal dilihat masih tidak memadai untuk membantu majoriti industri sukan yang bergantung pada orang ramai menggunakan gimnasium dan kemudahan sukan mereka. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Jawatankuasa Panel Pakar Kementerian Belia dan Sukan, V Radhakrishnan menggesa kerajaan membuka semula pusat kecergasan dan kemudahan sukan untuk individu yang lengkap divaksin.

Radhakrishnan berkata, langkah tersebut perlu demi kesihatan fizikal dan mental masyarakat, selain membantu menangani isu pengangguran.

Beliau mengulas mengenai pengumuman kerajaan pada Ahad bahawa 11 sektor ekonomi termasuk perniagaan dan kedai di pusat beli-belah dibenarkan dibuka semula, termasuk kedai peralatan sukan.

Radhakrishnan yang juga presiden Persatuan Pengusaha dan Pengendali Kompleks Sukan & Kecergasan Kebangsaan (NSFVOOA) berkata, pengumuman itu amat melegakan mereka yang terbabit dalam industri perniagaan sukan.

“Ia amat melegakan kami selepas terkesan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

“Saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan melihat kepada kemungkinan membuka sektor tersebut untuk individu telah lengkap divaksin yang ingin menggunakan kemudahan untuk tujuan kecergasan, selain memastikan pekerja juga diberi vaksin sepenuhnya,” katanya melalui petikan video yang dikongsi bersama media.

Radhakrishnan juga memberitahu bahawa pusat sukan dan kecergasan seperti gimnasium tempatan, gelanggang badminton dan futsal serta kemudahan kecergasan lain, juga perlu dibuka memandangkan ia penting dalam membantu orang ramai mengekalkan kesihatan dan kecergasan.

“Tanpa kemudahan seperti ini dibuka, perniagaan pusat kecergasan dan kemudahan sukan akan terus terjejas berikutan penutupan berpanjangan dan ketiadaan pelanggan menggunakan kemudahan yang meliputi 80% daripada perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan bersetuju membenarkan rakyat melakukan aktiviti kecergasan dengan berjoging dan berbasikal, keputusan itu masih tidak memadai untuk membantu majoriti industri sukan yang bergantung pada orang ramai menggunakan gimnasium dan kemudahan sukan mereka.

Radhakrishnan berkata, NSFVOOA mendapati kira-kira 100 gimnasium dan kemungkinan banyak lagi mungkin ditutup sekali gus menyebabkan peningkatan dalam pengangguran.

“Kita telah menyaksikan liga bola sepak berlangsung dengan 22 pemain di padang dan tidak ada masalah mengenainya.

“Setakat yang saya tahu, setakat ini, belum ada kluster yang muncul dari venue sukan, di semua pusat kecergasan… kami tidak ada rekod mengenainya, jadi ia adalah industri yang sangat selamat dan sihat,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.