Bagaimana Malaysia dapat terajui persaingan industri tenaga hijau?

Bagaimana Malaysia dapat terajui persaingan industri tenaga hijau?

Ketika ini, tenaga boleh diperbaharui hanya merangkumi 18% daripada campuran bekalan tenaga negara.

Putrajaya sedang merangka Dasar Tenaga Negara untuk menerajui peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketika negara lain melaksanakan dasar perlindungan alam sekitar dengan jiran serantau mengambil langkah ke hadapan dalam industri tenaga hijau, ketiadaan kemajuan Malaysia dalam aspek ini jelas menonjol.

FMT melihat dengan lebih dekat situasi semasa dan hala tuju bagi tenaga boleh diperbaharui di negara ini.

Apa itu tenaga boleh diperbaharui?

Tenaga boleh diperbaharui adalah bentuk-bentuk tenaga yang tidak memerlukan pembakaran bahan bakar fosil seperti petrol, diesel dan arang yang mengambil masa lama untuk diperbaharui.

Antara bentuk-bentuk tenaga boleh diperbaharui di Malaysia buat masa ini termasuk hidroelektrik, tenaga solar dan bahan bakar bio yang diperbuat sepenuhnya daripada bahan biologi atau campuran dengan bahan bakar fosil.

Mengapa tenaga boleh diperbaharui penting?

Rizab minyak ada hadnya dan apabila bekalannya habis, harga akan melonjak. Lebih penting lagi bahan bakar fosil memberi impak besar kepada perubahan iklim dan Malaysia tidak terkecuali daripada akibatnya.

Banjir dan gelombang haba yang dialami Malaysia boleh menjadi lebih buruk jika perubahan iklim akibat pengeluaran karbon tidak ditangani.

Kegagalan mengubah haluan juga boleh membawa kesan ekonomi. Kesatuan Eropah telah membuat perancangan untuk memperkenalkan tarif buat pengimport dengan pengeluaran karbon yang tinggi dan para pengguna semakin memilih produk mesra alam.

Jika syarikat Malaysia tidak membuat penyesuaian atau tiada sumber daya untuk berbuat demikian, mereka boleh ketinggalan ketika negara lain memodenkan sistem tenaganya.

Apa yang sedang Malaysia lakukan?

Putrajaya sedang merangka Dasar Tenaga Negara untuk menerajui peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon. Ketika ini, tenaga boleh diperbaharui hanya merangkumi 18% daripada campuran bekalan tenaga negara.

Menurut Global Carbon Project, pengeluaran karbon dioksida per kapita Malaysia adalah yang kedua tertinggi di rantau ASEAN setakat 2019, dengan 7.83 tan, hanya menyusuli Brunei.

Tambahan lagi pada Isnin, Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (IPCC) menerbitkan laporan hampir 4,000 muka surat yang menyampaikan satu mesej jelas, iaitu dunia sedang mengalami pemanasan pada kadar yang tidak pernah dilihat dalam 2,000 tahun, sebahagian besarnya dipacu oleh pengeluaran karbon dan kebergantungan kepada bahan bakar fosil.

Laporan berkenaan menyimpulkan bahawa kesan perubahan iklim akan bertambah buruk jika dunia gagal membuat perubahan segera secara kolektif.

Siapakah penggiat tenaga boleh diperbaharui di Malaysia?

Syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, Sime Darby Plantations dan Ipmuda Berhad mula menggunakan tenaga boleh diperbaharui baru-baru ini dan mendorong operasi perniagaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ini.

Ini sebagai tambahan kepada penggiat berdedikasi yang baharu seperti Solarvest Holdings Bhd dan SOLS Energy Sdn Bhd.

Bagi Ipmuda Berhad, yang sebelum ini bergiat dalam industri bahan pembinaan, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui adalah pilihan yang jelas.

“Tenaga boleh diperbaharui adalah masa depan (kita). Ia lebih bersih dan cekap berbanding bahan bakar fosil dan ini menjimatkan kos,” kata Pengerusi Eksekutif Ipmuda Beroz Mirdin.

“Saya jangkakan ini akan lebih meningkat memandangkan bahan bakar fosil akan terus kehabisan. Sebagai sebuah negara, kita tiada pilihan selain menerapkannya dan memainkan peranan untuk memastikan masa depan yang lebih lestari buat generasi akan datang.”

Ipmuda Berhad kini mempunyai aset untuk menghasilkan tenaga hidroelektrik dan solar dengan rancangan untuk mengembangkannya pada masa hadapan.

“Kami sedang mempertimbangkan untuk mengembangkan kemampuan hidro kami dalam tempoh 12 bulan akan datang. Kami lihat ini sebagai bidang pertumbuhan utama yang wajar dimanfaatkan,” kata Beroz.

Beliau berharap kerajaan terus menggesa lebih banyak perniagaan mempertimbangkan tenaga boleh diperbaharui.

“Kita tidak mampu ketinggalan ketika negara lain di rantau Asia Tenggara semakin maju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.