Perkhidmatan awam, program vaksin tak jejas selepas Kabinet letak jawatan, kata KSN

Perkhidmatan awam, program vaksin tak jejas selepas Kabinet letak jawatan, kata KSN

Zuki Ali berkata, semua usaha, bantuan dan inisiatif membabitkan peruntukan besar juga tidak akan terjejas demi kesejahteraan rakyat.

Zuki Ali memberi jaminan perkhidmatan awam, khasnya petugas barisan harapan terus komited untuk memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali berkata, semua usaha, bantuan dan inisiatif membabitkan peruntukan besar tidak akan terjejas demi kesejahteraan rakyat, khasnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, susulan peletakan jawatan perdana menteri dan Kabinet hari ini.

Beliau turut memberi jaminan perkhidmatan awam, khasnya petugas barisan harapan akan terus komited untuk memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas, berteraskan dasar semasa kerajaan.

Katanya, perkhidmatan awam juga komited mendukung konsep berkecuali dan “government of the day” berlandaskan kedaulatan undang-undang.

“Anggota perkhidmatan awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan persekutuan seperti biasa.

“Anggota keselamatan, terutamanya polis dan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Muhyiddin hari ini melepaskan jawatan perdana menteri, 17 bulan selepas beliau dilantik pada Mac 2020.

Beliau bagaimanapun akan menjadi perdana menteri “caretaker” sehingga penggantinya dilantik.

Zuki berkata, jentera kerajaan akan sedaya upaya melaksanakan semua dasar bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat, terutama dalam tempoh sangat mencabar ini.

“Perkhidmatan awam telah mengemudi pelayaran yang penuh liku dalam pelbagai konflik dan situasi mencabar. Layarnya perlu selari dengan tiupan bayu, dikemudi cekap dan arahnya menepati destinasi yang hendak dilabuhkan.

“Walau apapun gelora dan badai yang melanda, pelayaran ini akan kami teruskan bagi melaksanakan tanggungjawab demi negara yang kita cintai ini.”

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, penjawat awam akan kekal bebas, tanpa dipengaruhi sebarang ideologi politik dalam meneruskan perkhidamtan.

“Perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional.

“Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.