
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, langkah tersebut adalah tambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sebagai langkah proaktif untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.
SOP semasa seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan lain-lain masih terpakai dan wajib dilaksanakan syarikat, tambahnya.
“Kerajaan ingin mengingatkan kewajipan syarikat-syarikat untuk mematuhi SOP sepenuhnya dan ketidakpatuhan adalah satu kesalahan undang-undang yang boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk kompaun atau penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu,” jelas MITI.
Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran, termasuk kedai gunting rambut, dibenarkan kembali beroperasi dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 16 Ogos.
Bagaimanapun, terdapat prosedur-prosedur SOP tambahan yang mesti dipatuhi bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas, serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).
Kata MITI, selain itu syarikat perlu membuat pengisytiharan kadar vaksinasi lengkap pekerja yang sebenar di Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0
Selepas pengisytiharan, syarikat boleh terus memuat turun surat kelulusan beroperasi yang baharu.
“Akses ke CIMS 3.0 untuk pengisytiharan ini adalah terhad kepada sektor pembuatan sahaja,” kata MITI.
Pengesahan mengenai kadar vaksinasi pekerja akan dibuat melalui semakan dengan pihak Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), tambahnya.
Katanya, lawatan untuk pengesahan secara berkala turut akan dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa ke syarikat-syarikat dalam sektor pembuatan.