Satu lagi minggu suram, dengan kematian lebih 12,000

Satu lagi minggu suram, dengan kematian lebih 12,000

Rekod baharu kematian sebelum tiba ke hospital (BID) juga dicatat sepanjang tujuh hari lalu.

Kluster tempat kerja terus mendominasi jumlah jangkitan yang dikesan sejak seminggu lalu, diikuti kluster berkait komuniti.
PETALING JAYA:
Kematian berkait Covid-19 menjadi tumpuan minggu ini apabila dua rekod baharu dipecah setelah angkanya mencapai paras 12,000.

Ahad lalu, jumlah kematian tertinggi dalam sehari dicatatkan, dengan 380 kes.

Pada purata, 262 kematian dicatatkan sepanjang tujuh hari lalu.

Apa yang membimbangkan adalah secepat mana kematian melepasi paras 11,000 dan 12,000, dan ini menjadi gambaran suram mengenai berapa pantasnya virus ini mengorbankan nyawa.

Pada 10 Ogos, 201 kematian yang dicatat menjadikan jumlah kumulatif kematian 11,162. Empat hari kemudian, pada 14 Ogos, jumlahnya meningkat kepada 12,228.

Rekod baharu kematian sebelum tiba ke hospital (BID) turut dicipta dua hari berturut-turut – 93 kes pada 12 Ogos, dan hari berikutnya, 96.

Pada hari sama, satu lagi rekod dicipta – 21,668 jangkitan baharu dicatatkan.

Dan antara 12 Ogos dan semalam, kira-kira 13% daripada mereka yang dijangkiti telah lengkap vaksinasi.

Seminggu sebelumnya, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong berkata, 80 hingga 100 kes BID dicatatkan setiap minggu.

Kluster tempat kerja terus mendominasi jumlah jangkitan yang dikesan sejak seminggu lalu, diikuti kluster berkait komuniti. Purata 36 kluster baharu dikesan setiap hari sepanjang tujuh hari lalu.

Minggu lalu, secara purata, 31 kluster baharu dikesan sehari, dengan kluster tempat kerja terbanyak.

FMT mengimbau tajuk berita utama berkenaan Covid-19 sejak seminggu yang lalu:

Tunjuk perasaan selamat

Tiada kluster dilaporkan berkait tunjuk perasaan #Lawan dua minggu lalu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengenal pasti mana-mana kes baharu selepas tular satu hantaran media sosial mengatakan seorang individu dijangkiti virus ketika menghadiri tunjuk perasaan berkenaan.

Menangani varian Delta

Vaksin-vaksin Covid-19 yang digunakan di negara ini terbukti berkesan melawan varian Delta, kata Dr Noor Hisham.

Ini berdasarkan fakta bahawa vaksinasi di Labuan dan Sarawak berjaya mengurangkan kemasukan ke hospital, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan kecemasan bagi pesakit Covid-19, katanya.

Hati-hati dengan penggunaan Ivermectin

Pusat Racun Negara melaporkan dua kes keracunan melibatkan penggunaan Ivermectin, ubat yang sedang dilobi segelintir pihak untuk digunakan bagi merawat Covid-19.

Kes pertama membabitkan individu berusia 35 tahun yang mengalami sesak nafas lima hari selepas mengambil ubat berkenaan. Dalam kes kedua, seorang warga emas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah disyaki mengambil 15 pil Ivermectin sekali gus.

PPV diserbu

Pada Khamis, FMT melaporkan keadaan kelam kabut dan tidak teratur di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang mengakibatkan orang ramai terpaksa beratur di bawah terik matahari.

Mereka juga perlu berbaris sejauh lebih 1km, malah ada yang menunggu sehingga empat jam untuk mendapatkan vaksin.

Selain video yang menjadi tular mengenai barisan panjang dan kurangnya kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), seperti penjarakan fizikal, kekecohan turut tercetus di media sosial mengenai video yang menunjukkan orang ramai bersesak berlindung daripada hujan di bawah satu khemah.

Pada hari sama, orang ramai menyerbu sebuah PPV di Sandakan, Sabah, setelah diumumkan bahawa peraturan akan dilonggarkan bagi individu yang lengkap vaksinasi, dan kerajaan negeri membenarkan vaksinasi secara “walk-in”.

Kesesakan turut berlaku di PPV Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa setelah fasiliti berkenaan dibuka bagi pendaftaran secara “walk-in” untuk bukan warganegara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.