PH beri lampu hijau kepada pemimpin berunding dengan seteru politik, kata LGE

PH beri lampu hijau kepada pemimpin berunding dengan seteru politik, kata LGE

Bagaimanapun, tiga pemimpin utama PH daripada DAP, PKR dan Amanah tidak dibenarkan melakukan perkara sama.

Rundingan politik bersama seteru politik PH kini dibenarkan bagi menyelesaikan situasi politik semasa.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) memberi lampu hijau kepada pakatan pembangkang untuk mula berunding dengan seteru politik bagi merungkai situasi politik semasa, Lim Guan Eng mengesahkan.

Setiausaha Agung DAP itu, berkata bagaimanapun, tiga pemimpin utama daripada Pakatan Harapan (PH) tidak dibenarkan berunding tanpa persetujuan bersama antara ketiga-tiga mereka.

Lim berkata, Majlis Presiden PH memberi kebebasan kepada semua pemimpin duduk berbincang dengan seteru berkaitan situasi kecuali tiga pemimpin tertinggi PH.

“Majlis Presiden PH telah membenarkan semua pemimpin bebas untuk berbincang dan bercakap dengan pihak lawan mengenai keadaan politik kecuali 3 pemimpin teratas dalam PH yang perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata demikian sebagai respon kepada laporan media berbaur anti-DAP yang cuba menyelewengkan berita Ahli Parlimen DAP Tony Pua dan Ong Kian Ming, mengadakan perbincangan dengan Menteri Perikatan Nasional (PN), sebagai persepsi negatif terhadap mereka dan juga DAP.

“Selain tiga pemimpin teratas daripada DAP, PKR dan Amanah, ramai Ahli Parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga parti dalam PH secara sendiri telah mengadakan banyak perbincangan dengan seteru politik,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, perbincangan seperti itu tertakluk kepada persetujuan daripada kepemimpinan parti masing-masing dan Majlis Presiden PH bagi ia dapat dilaksanakan.

“Ahli-ahli DAP tidak boleh membiarkan laporan media berbaur anti-DAP ini memberi gambaran buruk terhadap DAP sehingga memecahbelahkan parti kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.