Covid-19: 31% kes baharu Sabah dikesan menerusi saringan bergejala

Covid-19: 31% kes baharu Sabah dikesan menerusi saringan bergejala

Peningkatan kes positif harian di lima daerah di Sabah sebahagiannya dikesan melalui saringan bergejala.

Masidi berkata, 44.6% penduduk dewasa negeri itu telah memperoleh satu dos vaksin Covid-19 dan 20.8% sudah melengkapkan kedua-dua dos setakat ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sabah merekodkan 1,752 kes positif Covid-19 semalam dengan 31% atau 538 kes dikesan melalui saringan bergejala, menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu sebanyak 103,437.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, peningkatan kes positif harian di lima daerah di Sabah sebahagiannya dikesan melalui saringan bergejala.

Beliau berkata, daripada 436 kes baharu di Kota Kinabalu, 144 daripadanya dikesan melalui saringan bergejala diikuti Tuaran (40 daripada 111 kes baharu), Penampang (71 daripada 228 kes baharu), Sandakan (49 daripada 113 kes baharu) dan Tawau (49 daripada 261 kes baharu).

“Jumlah kes melalui saringan bergejala yang tinggi merupakan peringatan kepada masyarakat untuk terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard semasa berada di khalayak ramai, khususnya di tempat-tempat tertutup seperti pasar raya dan restoran.

“Ini juga antara sebab mengapa perlunya pekerja dan pelanggan di pasar raya dan restoran untuk lengkap dua dos vaksin Covid-19 (sebulan daripada sekarang) bagi mengurangkan risiko jangkitan sporadik di tempat-tempat lazim dikunjungi ramai orang,” katanya dalam kenyataan.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, pesakit baharu dalam Kategori 2 menjadi kumpulan terbanyak, iaitu 972 kes atau 55.5% daripada jumlah keseluruhan kes baharu, dan trend itu sejajar dengan peningkatan kes melalui saringan bergejala.

Katanya, 10 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di tiga daerah semalam merangkumi lima kes di Kota Kinabalu, Tawau (empat) dan Keningau (satu).

Seramai 847 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kumulatif sembuh 86,976 orang, manakala 5,168 pesakit masih menerima rawatan di hospital, pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah swam, pusat tahanan sementara dan penjara serta fasiliti swasta.

Mengenai perkembangan program vaksinasi di Sabah, Masidi berkata, 44.6% penduduk dewasa negeri itu telah memperoleh satu dos vaksin Covid-19 dan 20.8% sudah melengkapkan kedua-dua dos setakat ini.

Seramai 1.37 juta rakyat Sabah atau 49.8% telah mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi pelbagai platform disediakan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.