
(Gambar Facebook)
Rozita Ramli, 40-an dilihat berulang kali memeluk dan meratap hiba di sisi jasad anak, Shahrul Faieza Zamzuri, 20 dan meluahkan rasa tidak percaya ke atas pemergian mangsa.
Rozita berkata, dalam kejadian kira-kira 2.40 petang tadi, anaknya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Dusun Langgar, selepas selesai menjalankan urusan penghantaran kek yang ditempah pelanggan.
“Anak saya kerap menawarkan diri menghantar kek yang saya buat kepada pelanggan dan hari ini dia membuat penghantaran di Kampung Tok Malek, tidak jauh dari rumah.
“Saya tidak menyangka hari ini adalah hari terakhir dia membuat penghantaran,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Melihat musibah yang menimpa anaknya, Rozita dilaporkan beberapa kali meluahkan rasa bersalah kerana mangsa menemui ajal atas urusan perniagaannya itu.
Terlalu sedih dengan kehilangan anak, sebaik jenazah ingin diangkat ke dalam trak polis, Rozita tiba-tiba longlai dan terpaksa dipapah ahli keluarga.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Mohd Razi Rosli berkata, kejadian membabitkan perlanggaran sebuah motosikal dan lori yang membawa muatan batu kelikir untuk dihantar kepada pelanggan di Kampung Tok Malek.
“Ketika tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115 dari arah bertentangan secara tiba-tiba masuk ke laluan lori menyebabkan berlaku perlanggaran secara berhadapan.
“Mangsa meninggal dunia di lokasi dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat. Siasatan lanjut dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.