
Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata tujuan kajian adalah untuk menentukan harga runcit alat ujian kendiri Covid-19 pada harga yang bersesuaian dan tidak membebankan pengguna.
“KPDNHEP sedang menjalankan libat urus dan kajian kos dan harga serta bekalan alat ujian kendiri Covid-19 terhadap syarikat-syarikat yang telah dilesenkan meliputi setiap rantaian pengedaran, pembekalan hingga peringkat runcit seperti farmasi dan klinik,” katanya dalam kenyataan.
Nanta berkata kit ujian kendiri Covid-19 adalah keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berdepan dengan cabaran wabak Covid-19.
Pada masa sama, Nanta berkata KPDNHEP juga menyarankan agar pengguna lebih berhati-hati dengan pembelian kit ujian kendiri di pasaran dengan membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (eng: Malaysia Device Authority-MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ mengenai senarai syarikat yang telah diluluskan untuk mengedar dan menjual kit ujian bagi kegunaan awam.