Azalina terangkan persoalan kerajaan minoriti vs kerajaan perpaduan

Azalina terangkan persoalan kerajaan minoriti vs kerajaan perpaduan

Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, kerajaan minoriti akan berdepan masalah meluluskan rang undang-undang selain mudah tergugat dan tidak akan bertahan lama.

Azalina Othman Said mengambil inisiatif memberi penerangan berkaitan kemungkinan situasi politik semasa membabitkan pembentukan sesebuah kerajaan.
PETALING JAYA:
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, berkongsi maklumat berkenaan pembentukan kerajaan minoriti di tengah-tengah kesangsian berhubung jumlah sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam perkongsian berbentuk FAQ berkenaan, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berkata perdana menteri yang hilang sokongan majoriti tidak boleh mendakwa mengetuai kerajaan minoriti.

“Beliau kena meletakkan jawatan terlebih dulu mengikut Artikel 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut laporan, sejumlah 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan ditadbirnya, sama ada secara umum atau menerusi akuan berkanun, justeru meninggalkan 100 Ahli Parlimen sahaja yang kekal mendokong perdana menteri.

Azalina berkata, jika tiada sesiapa di antara Ahli Parlimen yang boleh mendapat mandat majoriti, maka seseorang Ahli Parlimen itu boleh membawa tawaran kerajaan minoriti bersama bilangan Ahli Parlimen yang memberi sokongan bersyarat, melalui persetujuan “Confidence and Supply Agreement (CSA)” atau “Perjanjian Keyakinan dan Bekalan”.

Berikut adalah FAQ membabitkan pembentukan kerajaan minoriti;

Apakah maksud “Confidence and Supply Agreement” (“CSA”) atau “Perjanjian Keyakinan dan Bekalan”?

CSA adalah perjanjian bertulis diantara sebuah parti politik atau beberapa Ahli Parlimen bersama pihak Kerajaan Minoriti berkenaan apa-apa usul undi kepercayaan (“keyakinan”), rang undang-undang mustahak atau undi perbekalan atau bajet yang bakal dibentangkan dan diputuskan melalui proses pengundian dalam Dewan Rakyat kelak.

Bagaimanakah pihak kerajaan boleh menggunapakai CSA dalam konteks politik semasa?

Pihak Kerajaan boleh menawarkan sejumlah wang (“bekalan”) sebagai peruntukan kegunaan pusat khidmat rakyat di kawasan Ahli-ahli Parlimen dan sebagai balasan, Ahli Parlimen wajib memberikan sokongan, yakni undi mereka terhadap PM8 selaku perdana menteri apabila usul-usul dibentangkan, sebagai contoh undi percaya yang akan dibentangkan di sesi Parlimen ke-14, September nanti.

Apakah kesan perundangan yang akan timbul sekiranya CSA dipersetujui?

Kesan perundangan yang paling ketara ialah kerajaan Perikatan Nasional akan menjadi kerajaan minoriti yang pertama dalam sejarah Malaysia. Secara ringkas, kerajaan minoriti ialah sebuah kerajaan di mana Kabinet Menteri diketuai oleh perdana menteri yang tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Oleh itu, keabsahan seorang perdana menteri kerajaan minoriti amat bergantung pada perjanjian-perjanjian CSA.

Apakah kelemahan sesebuah kerajaan minoriti?

Kerajaan minoriti yang tidak dibentuk dan dikendalikan dengan baik akan mudah tergugat dan tidak akan bertahan lama, kerana kerajaan minoriti akan menghadapi kesulitan dalam meluluskan rang undang-undang di Parlimen. Ini akan menjejaskan kebolehan kerajaan mentadbir dan mengurus negara.

Apakah perbezaan di antara kerajaan campuran (Coalition) dengan kerajaan minoriti?

Kerajaan campuran terbentuk apabila adanya parti-parti politik bersetuju bergabung, di mana jumlah bilangan Ahli Parlimen cukup untuk membuktikan bahawa kerajaan campuran ini mempunyai mandat majoriti. Kerajaan campuran berlandaskan dasar dan agenda bersama yang terkandung dalam suatu perjanjian bertulis. Ahli-ahli Parlimen mewakili parti-parti dalam kerajaan campuran ini mempunyai kewajipan menyokong semua rang undang-undang dibentangkan oleh kerajaan dalam Parlimen, seperti mana disepakatkan dalam perjanjian bertulis berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.