Kadar kematian melonjak, bekas menteri kesihatan gesa pergiat vaksinasi golongan muda, wanita hamil

Kadar kematian melonjak, bekas menteri kesihatan gesa pergiat vaksinasi golongan muda, wanita hamil

Mangsa yang terkorban akibat Covid-19 ketika ini kebanyakannya dalam kalangan mereka yang hanya mendapat satu dos atau tiada langsung, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye berkata, 10 juta populasi dewasa masih belum menerima dos pertama vaksin Covid-19.
PETALING JAYA:
Kadar vaksinasi dalam kalangan golongan muda perlu ditingkatkan segera agar angka kematian, selain pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang jumlahnya tinggi saban hari dapat dikurangkan, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) itu berkata, pemberian vaksin bagi golongan itu perlu dipergiat kerana mangsa yang terkorban ketika ini kebanyakannya dalam kalangan mereka yang hanya mendapat satu dos atau tiada langsung.

“Kita melihat pesakit yang lebih muda mati hari ini, mungkin kerana varian baharu yang lebih ganas, termasuk Delta Plus dan Lambda.

“Malangnya, kita melihat ramai orang muda yang tidak diberi vaksin lagi (namun) sudah dijangkiti kerana pelaksanaan berfasa yang dilihat lambat bergerak,” katanya kepada FMT.

Justeru, Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan, menggesa kerajaan menggunakan kaedah yang lebih proaktif dengan menyasarkan individu di tempat kerja memandangkan sektor pekerjaan adalah penyumbang utama jangkitan virus.

Beliau turut menggesa kerajaan menumpukan vaksinasi bagi golongan wanita hamil yang ketika ini mencatatkan kadar kematian yang tinggi akibat Covid-19.

Bagi mengurangkan pendedahan yang lebih meluas terhadap virus buat mereka, beliau mendesak agar pusat pemberian vaksin (PPV) yang lebih kecil diperbanyak, terutamanya di kawasan padat penduduk.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye berkata, 10 juta populasi dewasa masih belum menerima dos pertama vaksin.

Katanya, kerajaan perlu mengenal pasti 4.55% populasi dewasa yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin dengan mengesan mereka menerusi data Jabatan Pendaftaran Negara,

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, usaha kerajaan meningkatkan kadar vaksinasi di “zon merah” patut dipuji namun pada masa sama, kerajaan seharusnya tidak meminggirkan negeri yang sudah beralih ke Fasa 2 dan seterusnya.

“Kerajaan perlu bersedia bagi menangani gelombang seterusnya di negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah seperti Perak, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Kelantan,” katanya.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan lebih 96% daripada 157 kes jangkitan Kategori 5 yang kritikal dan menggunakan alat bantuan pernafasan tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

Pada 11 Ogos, sebanyak 211 kematian direkodkan dengan 195 kes dilaporkan di hospital, manakala 16 lagi adalah kematian sebelum tiba ke hospital (“brought in dead”).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.