Hempuk kepala abang ipar dengan periuk, penganggur dipenjara 5 bulan

Hempuk kepala abang ipar dengan periuk, penganggur dipenjara 5 bulan

Peguam tertuduh meminta hukuman ringan selepas mendakwa anak guamnya itu mengalami masalah mental.

Mahkamah memerintahkan Azmi Shahadan menjalani hukuman mulai tarikh tangkap pada 16 Julai lepas. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dipenjara lima bulan kerana menghempuk kepala abang iparnya menggunakan periuk berulang kali sehingga menyebabkan warga emas itu mengalami kecederaan.

Azmi Shahadan, 56, mengaku salah melakukan perbuatan itu terhadap Isnin Kulop, 72, di rumah mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves dekat sini pada 11 pagi 6 Julai lepas, menurut laporan Bernama.

Tertuduh, yang masih bujang, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Nur Hafizah Rajuni memerintahkan Azmi menjalani hukuman itu mulai tarikh tangkap pada 16 Julai lepas.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran mulut antara Azmi dan Isnin yang berkesudahan dengan tertuduh mengambil periuk sebelum memukul kepala abang iparnya itu berkali-kali sehingga berdarah.

Keluarga mangsa meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi polis. Polis yang tiba di tempat kejadian kemudian membawa Azmi ke Hospital Selayang selepas tertuduh mendakwa dia mengalami masalah mental sejak 15 tahun lepas.

Terdahulu, peguam M Marippan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh tidak bekerja, masih bujang dan tinggal bersama-sama mangsa selain mengalami masalah mental.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni bagaimanapun berkata, laporan forensik mengesahkan tertuduh cukup waras akan perbuatannya pada hari kejadian.

“Tertuduh telah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 16 Julai lepas untuk mendapatkan pemerhatian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan laporan perubatan forensik psikiatri mengesahkan dia waras serta sedar akan sifat dan akibat perbuatannya pada hari kejadian,” katanya.

Susulan itu, beliau memohon hukuman setimpal kerana mangsa mengalami kecederaan di kepala selain mengambil kira tindakan tertuduh menggunakan periuk sebagai alat untuk mencederakan warga emas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.