
Respons itu diperoleh hasil pungutan suara dalam talian dilakukan Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam tempoh 48 jam, bermula 11 hingga 13 Ogos lalu.
JKPPH berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbang pembukaan sekolah pada 1 September ini dan ia menimbulkan banyak kegusaran dalam jiwa masyarakat.
“Daripada 421,446 responden yang telah memberikan respons, seramai 94.6% (398,687 orang) tidak bersetuju untuk sekolah dibuka pada 1 September, dan hanya 5.4% sahaja bersetuju.
“Dari semua responden tersebut, seramai 87.1% (367,079 orang) terdiri kalangan ibu bapa, manakala 9.7% adalah guru, dan 2.4% adalah kakitangan sekolah,” katanya dalam kenyataan.
JKPPH berkata, bilangan kes dan kematian akibat Covid-19 yang semakin meningkat tinggi menjadikan ibu bapa tidak mahu memperjudikan nasib anak-anak mereka.
Katanya, pelbagai pungutan suara dilakukan banyak pihak secara dalam talian bagi membantah sekolah dibuka pada 1 September nanti.
“Hal ini perlu diberi perhatian serius oleh KPM dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut,” katanya.
KPM sebelum ini memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September ini.
Bagi mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan hingga 31 Ogos.