DBKL tangguh arahan pemilik bersih bangunan di Jalan Petaling

DBKL tangguh arahan pemilik bersih bangunan di Jalan Petaling

DBKL berkata hanya 16 pemilik bangunan diarah memastikan bangunan mereka berada dalam keadaan bersih dan selamat.

DBKL menangguhkan arahan membersihkan bangunan di Jalan Petaling kerana prihatin dengan kesulitan dihadapi pemilik bangunan yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan arahan supaya pemilik bangunan membersihkan premis mereka berikutan masalah kewangan yang dihadapi ketika pandemik.

Baru-baru ini, media melaporkan beberapa pemilik bangunan di sepanjang Jalan Petaling diarahkan mencuci atau mengecat semula premis mereka di bawah Seksyen 75 Akta Kerajaan Tempatan (Akta 1971).

DBKL dalam kenyataan berkata, ia memperluaskan Program Pengindahan Bandar ke Lorong Petaling, Lorong Sultan dan Lorong Bandar, yang meliputi hampir 200 premis.

Daripada jumlah itu, hanya 16 pemilik bangunan diarah “memastikan bangunan mereka berada dalam keadaan bersih dan selamat”.

Namun, “prihatin dengan kesulitan yang dihadapi penduduk kota, termasuk pemilik bangunan yang terjejas dengan pandemik Covid-19, arahan itu ditangguhkan buat sementara”.

“Ini bagi memastikan pemilik bangunan mempunyai masa, ruang dan keupayaan yang cukup untuk mengambil tindakan bagi membersihkan bangunan mereka,” kata DBKL dalam kenyataan.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun meminta DBKL menerbalikkan arahan itu, selepas menerima aduan daripada peniaga yang terkejut dengannya.

Beliau berkata, ia akan menelan kos kira-kira RM10,000 untuk mengecat semula setiap bangunan dan peniaga tiada wang berbuat demikian sekarang.

“Bagaimana DBKL meminta peniaga mengecat semula bangunan ketika ini?

“Tiada perniagaan sejak lebih setahun lalu. Tiada wang dan kos tambahan ini akan membebankan mereka,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.