
PETALING JAYA: Sebanyak 50.1% atau 16,347,422 orang populasi negara menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Menerusi perkongsian infografik di Twitter, beliau memaklumkan individu yang lengkap dos kedua adalah sebanyak 29.1% atau 9,516,141 orang.
Ia menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 25,863,563 dos.
“Mengikut peratusan populasi dewasa, sebanyak 69.8% mendapat dos pertama manakala 40.7% lengkap dos kedua,” katanya.
Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 497,352 dos semalam dengan 227,506 adalah dos pertama manakala 269,846 dos kedua.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.