Selagi ada PKP, bantuan makanan tetap diteruskan, kata NGO

Selagi ada PKP, bantuan makanan tetap diteruskan, kata NGO

Antara yang mengambil langkah membantu termasuk selebriti pelawak dan pelakon, Harith Iskander yang menyeru masyarakat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Kempen #BenderaPutih yang dilancarkan adalah inisiatif rakyat bagi membantu mereka yang sangat memerlukan bekalan makanan dan bantuan.
PETALING JAYA:
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat mengambil inisiatif menyediakan bank makanan bagi membantu mereka yang memerlukan pada saat rakyat dalam kesusahan dalam menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP) di sekitar Lembah Klang.

Antara yang mengambil langkah sedemikian adalah seperti selebriti pelawak dan pelakon, Harith Iskander yang menyeru masyarakat supaya bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan serta menyokong gerakan Bendera Putih yang dijalankan sejak Julai lalu.

Harith mengambil langkah membantu masyarakat yang memerlukan melalui pertubuhan NGO kelolaannya, Pertubuhan Harapan Amal Harith Iskander yang mencuba sedaya-upaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Hubungi kami di talian 019 7093103. Kalau boleh beri butir-butir seperti alamat dan lokasi, nombor telefon dan sebagainya untuk memudahkan kami mencari mereka yang memerlukan.

“Tidak ada tempoh (bantuan). Ia dah ‘register’ sebagai NGO dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM),” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, syarikat penyedia perkhidmatan web, Shinjiru Technology Sdn Bhd (Shinjiru) turut mengambil inisiatif membantu masyarakat memerlukan dengan menyediakan bank makanan di Wisma Laxton semasa pelaksanaan PKP di Lembah Klang.

Bank makanan itu yang dilancarkan sejak 21 Julai bertujuan membantu mereka yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19.

“Ini termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung diri dan keluarga.

“Oleh itu Shinjiru mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat dengan menyediakan makanan, bahan memasak dan produk kebersihan kepada mereka yang memerlukan,” kata Ketua Pegawai Teknologi Shinjiru, Shaun Lim yang turut mengalu-alukan orang ramai menyumbang.

Bank makanan itu dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 6 petang di Wisma Laxton, Jalan Desa, Off Jalan Klang Lama, Taman Desa di Kuala Lumpur.

“Apa yang harus anda lakukan ialah berhenti di lokasi kami dan meninggalkan sumbangan anda di atas meja yang disediakan (diletakkan di sebelah Boost Juice, di hadapan Dita Group),” katanya.

Pada Julai lalu, kempen #BenderaPutih dilancarkan sebagai inisiatif rakyat bagi membantu mereka yang sangat memerlukan bekalan makanan dan bantuan berikutan krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19 yang semakin buruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.