Pertimbang keputusan buka sekolah, sesi PdPR boleh ditambah nilai, kata Tok Mat

Pertimbang keputusan buka sekolah, sesi PdPR boleh ditambah nilai, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyifatkan keputusan membuka sekolah secara menyeluruh itu sebagai pendekatan ‘one-size-fits-all’ yang hanya akan mengancam nyawa semua pihak.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, keputusan KPM untuk membuka semula sekolah 1 Sept ini mesti disesuaikan dengan data dan kadar jangkitan semasa serta vaksinasi.
PETALING JAYA:
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempertimbang semula keputusan membuka semula sekolah pada 1 Sept ini susulan angka jangkitan Covid-19 di negara ini masih pada tahap membimbangkan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan membuat teguran itu selepas KPM dilihat masih belum membuat pengumuman terkini mengenai keputusan dibuat Julai lalu itu selaras dengan perkembangan kadar jangkitan negara.

“Bilangan kes Covid-19 dalam negara kita kini pada tahap yang tertinggi pernah direkodkan.

Negeri seperti Selangor terus merekodkan jumlah kes yang sangat tinggi, melebihi 6,000 kes sehari secara konsisten.

“Manakala di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan jumlah kes harian yang dicatat juga dilihat semakin meningkat dengan mendadak.

Beliau menyifatkan keputusan semasa yang berisiko itu sebagai suatu “tindakan culas dan tidak bertanggungjawab”.

Mohamad bagaimanapun berkata, pembukaan sekolah secara berperingkat boleh dipertimbangkan bagi kawasan dan negeri yang berisiko rendah dan mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi seperti Perlis, Sarawak serta Labuan.

“Bagi negeri lain, pembelajaran secara maya mesti diteruskan dan ditambah nilai buat waktu ini. Keputusan KPM mesti disesuaikan dengan data dan kedudukan jangkitan serta vaksinasi,” katanya.

Katanya, sekiranya keputusan pembukaan sekolah secara menyeluruh dan serentak itu tetap dilaksanakan, ia berisiko melumpuhkan sistem kesihatan negara.

“Justeru, berhentilah daripada membuat segala keputusan yang akhirnya mengancam kesihatan dan keselamatan pelajar, guru-guru dan keluarga serta masyarakat,” katanya.

Pada 17 Julai, KPM berkata, keputusan pembukaan semula sekolah akan dibuka secara berperingkat itu dicapai selepas melihat kadar vaksinasi dalam kalangan warga sektor pendidikan membabitkan guru dan pentadbir yang sudah mencapai 61.3% atau 253,366 orang bagi dos pertama.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan jangkitan harian Covid-19 menunjukkan peningkatan kembali dengan 20,780 kes manakala 211 kematian direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.