Pendirian Johor terhadap kerajaan PN, PM pada hari akhir sidang DUN, kata MB

Pendirian Johor terhadap kerajaan PN, PM pada hari akhir sidang DUN, kata MB

Hasni Mohammad berkata keabsahan itu merangkumi pendirian Umno Johor terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menteri Besar Hasni Mohammad berkata, pendirian akan dibuat ketika ucapan penggulungannya pada hari terakhir sidang DUN Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendirian terhadap keabsahan kerajaan akan dibuat ketika ucapan penggulungan pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, kata Menteri Besar Hasni Mohammad.

Beliau berkata, keabsahan itu merangkumi pendirian Umno Johor terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Sebagai seorang pemimpin, kita perlu ada pendirian dan dinyatakan dengan jelas.

“Saya berpendapat berkaitan isu keabsahan perdana menteri dari sudut saya sebagai ketua kerajaan negeri, perkara itu sebagaimana yang saya nyatakan lebih awal akan diperjelaskan melalui Dewan ini.

“Jadi ia (penjelasan) akan dibuat semasa ucapan penggulungan saya nanti,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada 6 Ogos lalu, Hasni berkata, keabsahan kerajaan PN Johor dan menteri besar Johor akan ditentukan dalam sidang DUN.

Hasni berkata, sidang DUN merupakan saluran paling tepat untuk berbincang dan menentukan keabsahan kerajaan negeri termasuk kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan.

Ia susulan tindakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 3 Ogos lalu menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Ketika ini kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkini, iaitu Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (2), PAS (1) manakala Amanah (6) serta PKR (7).

Kerajaan negeri di bawah pimpinan Hasni yang mendapat sokongan Bersatu, MIC dan PAS memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, Amanah dan PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.