Masih belum boleh rentas daerah di Sabah?

Masih belum boleh rentas daerah di Sabah?

Merentas daerah masih tidak dibenarkan walaupun bagi yang telah divaksin lengkap mengikut SOP terbaru negeri itu, berbeza dengan pengumuman Putrajaya baru-baru ini.

Suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang telah menerima dos penuh vaksin Covid-19 boleh merentas negeri dan daerah di semua negeri kecuali Sabah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Prosedur operasi standard (SOP) yang disemak semula di Sabah di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) seolah-olah membayangkan perjalanan merentas daerah masih tidak dibenarkan walaupun bagi yang telah divaksin lengkap.

Ini susulan SOP yang dimasukkan dalam kenyataan Covid-19 Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun hari ini tidak menyebut kriteria di bawah sekatan pergerakan di negeri itu.

Putrajaya sebelum ini mengumumkan kelonggaran beberapa peraturan bagi golongan yang telah divaksin lengkap mulai 10 Ogos lalu. Ini termasuk membenarkan suami isteri jarak jauh serta ibu bapa dengan anak bawah usia 18 tahun untuk merentas sempadan dan bertemu sesama mereka.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran peraturan itu terpakai untuk semua fasa di bawah PPN, dengan menambah perjalanan antara daerah juga dibolehkan bagi individu divaksin lengkap di negeri di bawah Fasa 2.

Individu terlibat perlu menunjukkan sijil digital Covid-19 kepada pihak berkuasa di sekatan jalan raya untuk membuktikan mereka telah diinokulasi, selain permit polis dan dokumen sokongan lain. Mereka yang mahu memasuki Sabah juga mesti mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

Difahamkan, kerajaan negeri keberatan untuk membenarkan perjalanan rentas daerah sepenuhnya disebabkan jumlah kes yang meningkat.

FMT telah menghubungi Masidi untuk mengulas perkara itu.

Selain itu, SOP turut menyebut perjalanan merentas daerah hanya dibenarkan untuk kecemasan seperti kematian, alasan perubatan atau sekiranya ada bencana. Ia turut dibenarkan jika atas tugasan rasmi dengan surat sokongan majikan, jika melibatkan perkhidmatan perlu, serta bagi tujuan janji temu vaksinasi.

Selain itu, golongan yang telah divaksin lengkap dan mahu memasuki Sabah atas tugasan rasmi tidak perlu menjalani kuarantin atau ujian calitan ketika di negeri itu.

Mereka yang tinggal di Sabah lebih tiga hari mesti mengemas kini status kesihatan di MySejahtera.

Mereka juga perlu memohon izin polis untuk perjalanan antara negeri, selain mendapat keputusan negatif bagi ujian RT-PCR dalam tempoh tiga hari sebelum mengembara.

Mereka yang belum divaksin akan dikenakan kuarantin di rumah selama 10 hari selain perlu mengambil ujian RTK-Antigen pada hari kelapan selepas tiba di negeri itu.

Sementara itu, ‘dine-in’ dibenarkan di restoran tetapi hanya dengan pekerja dan pelanggan yang divaksin lengkap serta direkodkan mempunyai status risiko rendah dalam MySejahtera.

Bagi pasar raya dan pasar raya besar, hanya pelanggan dan pekerja yang telah divaksin lengkap boleh memasuki premis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.