Jangan berdiam diri mengenai majoriti PM, kata Zaid kepada Azhar

Jangan berdiam diri mengenai majoriti PM, kata Zaid kepada Azhar

Bekas menteri undang-undang itu mengingatkan Speaker Dewan Rakyat untuk memainkan peranannya dengan menyatakan keadaan semasa dewan.

Zaid Ibrahim berkata, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun bertanggungjawab memberitahu keadaan sebenar.
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun tidak boleh berdiam diri mengenai kedudukan majoriti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen tetapi harus menyatakan keadaan semasa dewan kepada orang ramai, kata bekas menteri.

“Mengapa dia terlalu senyap? Jika Yang di-Pertuan Agong sedar bahawa majoriti Muhyiddin meragukan, seperti juga yang dilaporkan, sudah tentu Azhar perlu sedar,” kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

“Speaker adalah Speaker Dewan Rakyat, bukan eksekutif. Daripada semua orang, dia harus tahu keadaan sebenar. Adakah dia telah menasihatkan Seri Paduka Baginda mengenai keadaan sebenar? Orang ramai perlu tahu juga perkara ini,” katanya kepada FMT.

Menurut beberapa laporan, seramai 15 Ahli Parlimen daripada Umno telah menarik sokongan kepada Muhyiddin dan pentadbirannya sama ada secara umum atau akuan berkanun (SD), meninggalkan kerajaan dengan hanya 100 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Blok pembangkang mempunyai 105 Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), Pejuang, Warisan, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan MUDA, termasuk bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik yang menjadi ahli Bebas.

Penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen daripada Umno itu menjadikan jumlah mereka yang menentang Muhyiddin seramai 120 daripada keseluruhan 220 Ahli Parlimen.

Kini perdana menteri itu hanya mempunyai sokongan 100 Ahli Parlimen manakala dua kerusi kosong susulan kematian penyandangnya.

Zaid berkata, isu mengenai majoriti perdana menteri adalah isu negara yang amat penting dan sebagai speaker, Azhar harus “melakukan perkara yang betul”.

“Bagi saya, speaker mempunyai tugas terhadap rakyat. Dia perlu melaksanakan ketelusan dalam proses menentukan majoriti PM.

“Rakyat keliru, terdapat ketidaktentuan yang berlaku disebabkan situasi ini,” katanya.

Zaid turut menyuarakan kebimbangan mengenai perjanjian yang dibuat kerajaan ketika ini apabila keabsahannya diragui.

“Ini benar-benar situasi tidak sihat yang perlu diperjelaskan dan speaker mempunyai peranan penting dalam krisis ini. Jadi, dia tidak boleh terus berdiam diri,” katanya sambil menambah bahawa peranan speaker adalah lebih kritikal ketika ini.

Zaid berkata, Azhar harus memudahkan penyelesaian segera dilakukan terhadap krisis ini dan tidak membiarkan kebuntuan ini berterusan.

“Inilah yang dituntut dalam peranannya ketika ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.