HRPZ II tak tetap sebarang bayaran pengurusan jenazah Covid-19

HRPZ II tak tetap sebarang bayaran pengurusan jenazah Covid-19

Urusan bayaran dan pengeluaran resit adalah di antara pengurus jenazah dengan waris, tanpa melalui pihak hospital.

Pengarah HRPZ II Dr Selasawati Ghazali berkata, pengurusan jenazah bukanlah perkhidmatan yang disediakan oleh hospital berkenaan. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menerusi Jabatan Forensiknya tidak pernah menetapkan sebarang kos pengurusan jenazah termasuk jenazah mangsa Covid-19.

Pengarah HRPZ II Dr Selasawati Ghazali dalam kenyataan semalam berkata, pengurusan jenazah bukanlah perkhidmatan yang disediakan oleh HRPZ II.

Bagaimanapun beliau berkata, banyak permintaan untuk menyempurnakan jenazah membuatkan pihaknya menyediakan perkhidmatan itu di Jabatan Forensik tanpa mengenakan bayaran untuk kos fasiliti serta utiliti.

“Sekiranya pihak waris ingin menyempurnakan jenazah di fasiliti kami (HRPZ II), senarai pengurus jenazah yang telah mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) ada disediakan. Waris juga bebas untuk membawa pengurus jenazah sendiri,” katanya.

Selasawati berkata, kos pengurusan jenazah adalah tertakluk sepenuhnya kepada persetujuan bersama waris dan pihak pengurus jenazah dipilih dan MAIK juga telah mengeluarkan cadangan kadar kos pengurusan jenazah.

Beliau berkata, urusan bayaran dan pengeluaran resit adalah di antara pengurus jenazah dengan waris tanpa melalui pihak hospital.

Semalam, laporan sebuah media tempatan menyebut seorang anak yang kehilangan ibu akibat Covid-19 tampil mendedahkan bahawa beliau adalah antara individu yang terpaksa membayar RM1,400 kos tayamum seperti yang diminta pihak pengurusan di Unit Forensik di sebuah hospital di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.