Wajib buat ujian mingguan untuk buka semula ekonomi, kata badan pemikir

Wajib buat ujian mingguan untuk buka semula ekonomi, kata badan pemikir

Center for Market Education (CME) menggesa pengesanan awal dibuat bagi mengurangkan kadar kematian.

Penggunaan alat ujian pernafasan di tempat kerja dan sekolah perlu dipertimbangkan dalam strategi pembukaan semula, kata Center for Market Education. (Gambar MTI Singapura)
PETALING JAYA:
Ujian Covid-19 mingguan di tempat kerja dan sekolah patut menjadi amalan standard untuk memantau wabak dengan sebaiknya, kata Center for Market Education (CME).

Ketua Pengarah Eksekutifnya Carmelo Ferlito menggesa pengesanan awal itu bagi mengurangkan kadar kematian, dengan menambah penggunaan alat ujian pernafasan juga wajar dipertimbangkan.

Alat seperti itu telah diluluskan untuk kegunaan di Singapura sejak Mei lalu.

Walaupun penanda aras untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat sebagai langkah permulaan yang baik, CME percaya strategi pembukaan semula boleh dipertingkatkan jika diikuti pelan sokongan komprehensif.

“Strategi pembukaan semula tidak boleh hanya berdasarkan sasaran vaksinasi. Strategi seperti itu boleh memakan diri apatah lagi kita kini tahu mereka yang telah divaksin juga boleh dijangkiti dan menjangkitkan orang lain, selain kurang perlu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) disebabkan rasa selamat,” katanya.

Ferlito berkata, isu sebenar bukanlah betapa pantas ekonomi dapat dibuka semula, sebaliknya pelan sokongan dalam membenarkan lebih banyak sektor beroperasi dengan selamat.

Katanya, dengan mengelak sekatan pergerakan, sumber boleh digunakan untuk menyasarkan pelaburan bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan, iaitu sesuatu yang setakat ini tidak dilihat dalam strategi anti-Covid negara ini.

Tambahnya, kajian mengenai protokol farmakologi sewajarnya juga patut digalakkan.

CME menggesa kerajaan memikirkan dasarnya berhubung pembukaan semula ekonomi dan kehidupan sosial hanya untuk golongan yang telah divaksin lengkap kerana menganggapnya bersifat diskriminasi.

“Sebenarnya ada golongan yang tidak dapat divaksin atas faktor kesihatan atau peribadi. Kita tidak boleh biarkan mereka terkurung selamanya di dalam rumah.

“Secara ringkasnya, kita mahu kembali ke arah keadaan normal dengan pantas, dengan vaksinasi sebagai satu daripada faktor yang penting, seiring perancangan bijak bagi memastikan program itu berjaya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.