NUTP rayu KPM tangguh pembukaan sekolah

NUTP rayu KPM tangguh pembukaan sekolah

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata NUTP menerima maklum balas daripada ibu bapa murid dan guru yang tidak berpuas hati dengan arahan pembukaan sekolah berikutan kes harian yang semakin tinggi.

Harry Tan Huat Hock, berkata kadar vaksinasi dua dos melebihi 30% tidak menjamin nyawa rakyat yang merekodkan kadar kematian 100 hingga 300 orang setiap hari.
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pembukaan sekolah bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka, mulai 1 September ini, berikutan kes harian Covid-19 semakin tinggi.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata rayuan itu dibuat selepas NUTP menerima maklum balas daripada ibu bapa murid dan guru yang tidak berpuas hati dengan arahan pembukaan sekolah itu.

“NUTP berpendirian tidak wajar sesi persekolahan dibuka di saat kes harian semakin tinggi saban hari,” katanya dalam kenyataan.

KPM dalam satu kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini, dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Harry berkata rayuan menangguhkan sesi persekolahan itu juga berikutan ibu bapa pastinya memilih tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

Katanya, walaupun kadar vaksinasi dua dos sudah melebihi 30%, tetapi ia tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat kerana setiap hari kadar kematian melebihi 100 hingga 300 orang.

“Oleh itu, pihak NUTP merayu agar pihak KPM memberi pertimbangan khas demi keselamatan dan kesihatan anak murid serta warga pendidik.

“KPM perlu menangguhkan pembukaan persekolahan sehingga ke waktu yang lebih selamat,” katanya.

NUTP juga berharap agar KPM membantu melicinkan proses PdPR dengan memberi kemudahan internet berkelajuan tinggi dan murah serta memberi bantuan internet percuma kepada keluarga B40.

Katanya, manakala warga pendidik pula diberi pakej internet istimewa dan diberi latihan mempertingkat kemahiran guru dalam PdPR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.