Saya negatif Covid-19, kata timbalan menteri selepas pembantu meninggal dunia

Saya negatif Covid-19, kata timbalan menteri selepas pembantu meninggal dunia

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Guan Dee Koh Hoi menyifatkan Pegawai Tugas-tugas Khasnya, Jaimin Samitah sebagai kakitangan berdedikasi.

Guan Dee Koh Hoi berkata, kali terakhir beliau menemui pegawai tugas-tugas khasnya, Jaimin Samitah pada 29 Julai lalu, ketika Parlimen digantung dan semua Ahli Parlimen serta kakitangan wajib menjalani ujian saringan Covid-19. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Sabah, Guan Dee Koh Hoi berkata, beliau disahkan negatif Covid-19 selepas seorang pembantunya meninggal dunia akibat virus itu semalam.

Guan Dee, yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, beliau menjalani dua ujian RT-PCR, dengan yang terbaharu pagi tadi, selepas pegawai tugas-tugas khasnya, Jaimin Samitah meninggal dunia petang semalam.

Katanya, beliau rapat dengan Jaimin, yang berasal dari Ranau, dan menyifatkan Allahyarham sebagai kakitangan berdedikasi yang mula berkhidmat dengannya selepas beliau dilantik ke jawatan timbalan menteri.

“Saya sangat sedih dengan berita mengejutkan itu. Saya sudah mengucapkan takziah kepada keluarganya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Guan Dee mengimbau kali terakhir beliau menemui Jaimin pada 29 Julai lalu, ketika Parlimen digantung dan semua Ahli Parlimen serta kakitangan wajib menjalani ujian saringan Covid-19.

“Kami berdua disahkan negatif hari itu. Saya pulang ke Sabah pada Isnin berikutnya dan beliau tidak pulang. Kami tidak berjumpa selepas itu.

“Kemudian, beliau menghubungi saya untuk memaklumkan beliau dimasukkan ke hospital dan tidak dapat pulang ke Sabah. Malangnya, berita buruk sampai semalam.”

Guan Dee berkata, saudara Jaimin memaklumkan jenazahnya dikebumikan di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, Jaimin ialah bekas timbalan ketua Umno Bahagian Ranau sebelum menyertai STAR pada 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.