Restoran ikon nasi kandar waspada dalam persediaan terima pelanggan ‘dine-in’

Restoran ikon nasi kandar waspada dalam persediaan terima pelanggan ‘dine-in’

Restoran berusia 115 tahun itu akan menggalakkan lebih ramai pelanggan bawa pulang makanan berbanding makan di premis, kata pengarahnya.

Seorang pelanggan memesan makanan untuk dibawa pulang di Restoran Hameediyah.
GEORGE TOWN:
Diiringi aroma murtabak yang sedang dimasak dan air sirap ros buat pengunjung tetap Hameediyah, iaitu restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, tiada yang dapat menandingi pengalaman makan di restoran berkenaan.

Namun dengan aktiviti makan di premis dibenarkan kembali di negeri berkenaan mulai hari ini, restoran berusia 115 tahun itu mengambil langkah berwaspada.

Mereka menjangkakan ramai pelanggan akan datang, terutamanya yang ingin melunaskan keinginan mereka makan ayam kapitan dan Mysore kambing.

Pengarah restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, jangkaan para pelanggan akan terbantut kerana hanya 95 orang dibenarkan makan di salah satu daripada dua kedai mereka yang jaraknya hanya tiga pintu.

Pengarah Restoran Hameediyah Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim.

Sebelum wabak, ia dapat menempatkan 195 pelanggan.

“Kami akan menggalakkan lebih ramai bawa pulang berbanding makan, memandangkan bilangan kes Covid-19 tinggi,” katanya kepada FMT.

Sekumpulan veteran tentera katanya, telah menempah awal 12 tempat duduk untuk hujung minggu ini.

Pelanggan yang menunjukkan sijil vaksinasi lengkap akan diberi pelekat berwarna agar pelayan tidak keliru dengan pelanggan yang datang untuk bawa pulang makanan.

Riyaaz berkata, perniagaannya merosot 40% setelah larangan makan di premis dikuatkuasakan dan cuba bertahan menerusi perkhidmatan penghantaran makanan.

Pekerja Restoran Hameediyah membersihkan lantai tingkat atas di premis restoran berkenaan di Lebuh Campbell, George Town, sebagai persediaan menerima pelanggan makan di premis.

Bagaimanapun, G Hotel di Gurney Drive, yang mana restorannya menjadi popular ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula berkuat kuasa tahun lalu, memutuskan untuk menutup Taste Cafe dan restorannya yang lain kerana “prosedur operasi standard (SOP) yang bercanggah”.

Pegawai komunikasi hotel, Christina Tan berkata, ini berpunca daripada syarat yang ditetapkan pihak berkuasa bahawa semua pengunjung hotel mesti telah menerima vaksin, termasuk mereka yang menginap.

Katanya, memandangkan hotelnya ada tetamu jangka panjang dan petugas barisan hadapan yang menginap tanpa syarat vaksinasi, pihak pengurusan membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko penularan jangkitan di premis mereka.

“Kami sudah ada tetamu yang menginap dan mereka tidak tertakluk kepada dasar penerimaan vaksin. Adakah kami perlu halau mereka yang tidak menerima vaksin? Ini masih menjadi persoalan.

“Justeru, kami tidak mahu ambil risiko membenarkan pengunjung makan di restoran selagi isu ini tidak diselesaikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.