
Menerusi forum secara maya bertajuk “Buka Sekolah 1 September Wajarkah?”, ahli panel bersetuju bahawa ia harus menjadi keutamaan untuk kanak-kanak kembali ke sekolah tetapi pertimbangan dari sudut kesihatan tidak boleh diambil remeh.
Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, pembukaan sesi persekolahan harus dilakukan berdasarkan keadaan di peringkat tempatan berbanding kebangsaan dengan mengambil kira keadaan khusus komuniti setempat.
“Ia tidak boleh menjadi ukuran untuk semua dan keputusan sama ada untuk dibuka semula atau ditutup mesti berdasarkan banyak kriteria seperti kadar vaksinasi guru serta saiz komuniti sekitar sekolah yang luas,” katanya.

Adeeba berkata, kelas secara fizikal kurang berisiko di kawasan yang mempunyai bilangan kes rendah dengan kadar vaksinasi yang tinggi kerana berkemungkinan murid tidak akan mendapat jangkitan dan menyebarkan virus ketika berada dalam bilik darjah.
Katanya, sebaik dibuka semula, mereka juga tidak boleh dihalang keluar dari bilik darjah untuk bermain dengan rakan kerana interaksi sosial adalah elemen penting dalam pembangunan kanak-kanak dan ia adalah aktiviti berisiko rendah jika dilakukan di kawasan terbuka.

Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik bersetuju bahawa strategi menyeluruh itu bukanlah jalan terbaik selain menjelaskan bahawa penilaian risiko di peringkat tempatan lebih bermanfaat kepada murid di kawasan luar bandar.
“Ia lebih masuk akal sekiranya sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar dibuka semula kerana kurang sesak, tidak seperti sekolah di bandar.
“Sekolah di kawasan itu juga seperti sekolah Orang Asli di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai ramai murid dan keadaannya terbuka serta mempunyai pengudaraan yang baik. Kebanyakannya juga terletak di kawasan hijau dan tidak mempunyai jangkitan.”
Katanya, pendidikan di kawasan luar bandar amat penting kerana ramai yang tidak mempunyai sumber mencukupi untuk mengikuti pelajaran dalam talian secara berkesan dan ia juga akan mengurangkan jurang pendidikan yang dihadapi kebanyakan murid ketika penutupan sekolah.