Kes selebriti dikait ‘bapa ayam’: Polis hantar kertas siasatan esok

Kes selebriti dikait ‘bapa ayam’: Polis hantar kertas siasatan esok

Baru-baru ini dilaporkan seorang selebriti lelaki berusia 40-an ditahan pada 1 Ogos bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Amran Mohd Ghani berkata, setakat ini beberapa saksi sudah dipanggil untuk membantu siasatan.
KUALA PILAH:
Kertas siasatan berhubung seorang selebriti yang dipercayai terlibat dengan kes pemerdagangan manusia akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya esok untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Amran Mohd Ghani berkata, setakat ini beberapa saksi sudah dipanggil untuk membantu siasatan.

“Siasatan sedang dilengkapkan dan apabila selesai, kita akan rujuk kepada pihak pendakwa raya untuk arahan berikutnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penahanan seorang selebriti lelaki berusia 40-an pada 1 Ogos bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks dalam satu sekatan jalan raya di sekitar negeri ini.

Selebriti itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari.

Susulan penahanan tersebut, polis menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dan mendapatkan perintah perlindungan sementara untuk menempatkan mangsa di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Sabtu lalu, seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 30-an turut direman hingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Amran berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.