DBKL tambah derita peniaga arah cat semula premis, kata Ahli Parlimen

DBKL tambah derita peniaga arah cat semula premis, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun mahu menulis surat kepada pihak berkuasa untuk menarik balik arahan mengecat semula premis sekarang.

Daripada menambahkan beban peniaga, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lin mencadangkan DBKL mengurangkan kadar penilaian untuk peniaga di Jalan Petaling sebanyak 10%.
PETALING JAYA:
Ketika peniaga di Jalan Petaling bergelut terus bertahan dan kedai masih ditutup, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil dengan “arahan pelik” dengan meminta peniaga mengecat semula premis mereka.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun memberitahu DBKL supaya menerbalikkan arahan itu, selepas menerima aduan daripada peniaga yang terkejut dengannya.

“Bagaimana DBKL meminta peniaga mengecat semula bangunan ketika ini?

“Tiada perniagaan sejak lebih setahun lalu. Tiada wang dan kos tambahan ini akan membebankan mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ia akan menelan kos kira-kira RM10,000 untuk mengecat semula setiap bangunan dan peniaga tiada wang untuk berbuat demikian.

“Saya diberitahu secara tidak rasmi bahawa mereka mungkin menarik balik keputusan itu. Mari tunggu dan lihat.”

Daripada menambahkan beban peniaga, Fong mencadangkan kadar penilaian untuk peniaga di Jalan Petaling dikurangkan sebanyak 10%. Peniaga kemudian boleh menyalurkan wang daripada kadar penilaian itu untuk memperkemaskan bangunan mereka.

“Pada waktu sukar, semua orang perlu membantu satu sama lain atau sekurang-kurangnya mencari jalan untuk membantu,” katanya sambil menambah langkah atau arahan baharu tidak patut membebankan perniagaan yang berdepan krisis Covid-19.

Kebanyakan perniagaan di Lembah Klang bergelut untuk terus bertahan akibat sekatan pergerakan berpanjangan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

The Star melaporkan DBKL mengeluarkan arahan kepada peniaga di Jalan Petaling di bawah Seksyen 75 Akta Kerajaan Tempatan (Akta 1971) yang memerlukan penyewa mencuci atau mengecat semula bangunan dengan cat berkualiti dalam 30 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.