3 faktor perlu dipertimbang Putrajaya sebelum buka semula ekonomi

3 faktor perlu dipertimbang Putrajaya sebelum buka semula ekonomi

Seorang ahli pemikir kesihatan berkata tiga faktor harus dipertimbangkan secara objektif sebelum memutuskan untuk buka semula ekonomi

Adakah sistem kesihatan mampu menanganinya? Ia adalah salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum memberi kelonggaran, kata seorang ahli pemikir.
PETALING JAYA:
Putrajaya perlu menimbangkan beberapa faktor secara objektif sebelum memutuskan untuk membuka semula sektor ekonomi selepas kluster dalam sektor pembuatan mencetuskan lonjakan kes Covid-19 di Selangor, kata seorang ahli pemikir kesihatan.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, kerajaan harus bertanyakan kepada diri sendiri mengenai tiga perkara, iaitu;

  • Adakah epidemik ini masih terkawal?
  • Adakah sistem kesihatan masih boleh menangani kemunculan semula kes yang mungkin meningkat selepas kelonggaran diberikan dan beberapa sektor dibuka semula?
  • Adakah sistem pengawasan kesihatan mampu menangani, mengesan, menguruskan kes dan mengenal pasti kawasan yang berlakunya kemunculan semula kes?

CEO Pusat Galen Azrul Mohd Khalib berkata, tiga persoalan ini boleh menentukan sama ada kelonggaran boleh diberikan secara berperingkat atau langsung tidak.

Azrul Mohd Khalib.

“Biarpun hakikatnya jawapan kepada persoalan itu membawa berita baik, namun menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh adalah kompleks dan sukar,” katanya kepada FMT.

Azrul berkata, langkah utama kesihatan awam seperti prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, harus dikekalkan biarpun dalam kawasan yang mendapat liputan vaksinasi meluas.

“Strategi kerajaan untuk pembukaan semula sektor harus melindungi kesihatan, keselamatan terhadap pembukaan, penutupan dan mengubah suai tempat kerja.”

Minggu lalu, Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata, 96 daripada kluster dalam sektor pembuatan menyumbang kepada 54% kluster aktif di negeri itu sepanjang Julai.

Beliau berkata, penularan virus dalam sektor itu mungkin berlaku dalam komuniti sebelum dibawa ke tempat kerja.

Sementara itu, aktivis hak migran mempersoalkan strategi komunikasi kerajaan dan sektor swasta dalam menangani migran dan pekerja asing.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, pihak berkuasa dan majikan sepatutnya menggunakan bahasa asal migran untuk menjelaskan mengenai pandemik dan perkara berkaitan seperti SOP dan sekatan pergerakan.

Beliau berkata, ramai pekerja asing sama ada tidak mampu bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan baik atau langsung tidak memahaminya.

“Saya masih ingat ketika bercakap dengan seorang pekerja asing yang berjalan di sekitar ibu kota biarpun disahkan positif Covid-19 kerana dia tidak faham apa itu ‘positif’ ketika mendapat keputusan,” katanya ketika dihubungi.

Pereira berkata, kerajaan juga sepatutnya bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu menyampaikan maklumat kepada migran.

“Sehingga kini, kerajaan masih tidak mendekati NGO hak asasi migran untuk menangani perkara ini,” katanya.

Pereira berkata, walaupun ramai migran di Selangor dilaporkan dijangkiti namun ia agak sukar untuk mengesan punca penularan dalam kalangan mereka.

“Kita tidak tahu sama ada mereka dijangkiti daripada rakyat tempatan atau di asrama sesak yang didiami dan dikawal ketat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.