
Zawani Zulkifli yang menganggur dijatuhi hukuman penjara 15 tahun sementara Nur Zahirah Yusoff, bekas ejen tiket syarikat bas, dipenjara 13 tahun dari tarikh dia ditangkap pada 18 Dis 2016.
Hakim Mahkamah Rayuan Suraya Othman, yang mengetuai panel tiga hakim yang turut dianggotai Abu Bakar Jais dan Ghazali Cha berkata, terdapat perbezaan dari segi hukuman kerana Zawani mempunyai sabitan lampau.
Suraya berkata, kedua-dua wanita itu bernasib baik kerana pihak pendakwa menawarkan untuk mengurangkan tuduhan. Kedua-duanya telah mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati atas tuduhan mengedar dadah.
“Kamu berdua akan mendapat remitan satu pertiga hukuman kerana berkelakuan baik semasa di penjara dan kami berharap kamu akan berubah sikap,” katanya.
Abu Bakar berkata, mereka patut menganggap diri mereka beruntung kerana pihak pendakwa bersetuju mengurangkan tuduhan sehari sebelum sambutan Awal Muharram.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua wanita berusia 34 tahun berkenaan didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah unit kondominium di Jalan Harbour Place Off Jalan Assumption, Seberang Perai Utara pada 1.45 petang, 18 Dis 2016.
Pada permulaan pendengaran rayuan hari ini, Suraya berkata, wujud salah arah serius oleh hakim perbicaraan dengan beliau gagal menunjukkan sama ada sabitan itu berdasarkan perbuatan mengedar yang sebenar atau hanya anggapan.
Hakim Akhtar Tahir mendapati kedua-dua wanita tersebut bersalah dan menjatuhkan hukuman mati pada 2019.
Semasa mitigasi, peguam K Simon Murali berkata, anak guamnya, Zahirah, tiada sabitan lampau.
“Dia berasal dari latar belakang yang sangat miskin di Teluk Kumbar dan keluarga yang berpecah belah,” tambahnya.
Kedua-dua wanita itu juga dituduh mengedar dadah dalam satu kes lain di Pulau Pinang tetapi Nur Zahirah dibebaskan oleh hakim yang berbeza tanpa pembelaannya dipanggil.
Bagaimanapun, Zawani disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati. Rayuannya di Mahkamah Rayuan masih menunggu keputusan.
Zawani diwakili Mohd Izhar Ahmad Azmi dan Mohd Hafiz Jalaludin.