Pengangguran meningkat: Majlis Pekerjaan Negara buat apa, soal pemimpin Umno

Pengangguran meningkat: Majlis Pekerjaan Negara buat apa, soal pemimpin Umno

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan mempertikai keberkesanan NEC selepas laporan mendedahkan peningkatan kadar pengangguran.

Kerajaan sepatutnya memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah pengangguran, kata Shahril Hamdan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mempertikaikan keberkesanan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) selepas laporan mendedahkan bahawa kadar pengangguran meningkat kepada 768,700 pada Jun lalu.

“Apa yang dilakukannya (NEC)? Beberapa hari lalu ia mengumumkan 320,000 pekerjaan telah diwujudkan, tetapi hari ini kita dimaklumkan pula statistik membimbangkan bahawa kadar pengangguran meningkat daripada 4.5% kepada 4.8% dalam tempoh hanya sebulan,” kata Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan kepada FMT.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan mendedahkan kadar pengangguran meningkat pada Jun berbanding Mei dengan jumlah tenaga kerja menurun sehingga 0.5%.

Sebahagian daripada tenaga buruh juga telah beralih kepada kumpulan tidak aktif yang membawa kepada penurunan dalam tenaga buruh kepada 16.07 juta orang berbanding Mei 2021, iaitu 16.10 juta orang.

“Sejak pandemik bermula, ramai telah kehilangan kerja dan kini bekerja sendiri. Mereka inilah antara kumpulan yang paling teruk terkesan.

“Masa depan mereka nampak kelam terutama dengan sekatan pergerakan dan sentimen perniagaan yang lemah,” kata Shahril.

Menurutnya, statistik kerajaan membayangkan 10% daripada golongan yang menganggur telah tidak bekerja selama setahun.

“Bagaimana mereka akan pulih nanti? Apakah yang dilakukan NEC?”

Shahril berkata, program jaminan kerja “radikal” amat diperlukan untuk membantu mereka yang menganggur.

Katanya, ini supaya kerajaan dapat mengenal pasti pekerjaan yang mampu memperbaiki kapasiti ekonomi, selain melabur dalam bidang berkenaan dengan membayar gaji pekerja.

“Jika kerajaan boleh membentangkan perbelanjaannya dan menunjukkan ia tidak berbelanja secara semberono, saya fikir Parlimen akan menyokong keperluan meningkatkan had hutang untuk berbelanja ke arah program jaminan pekerjaan.

“NEC sepatutnya memberi cadangan bagi menyelesaikan masalah pengangguran selain berbincang dengan orang ramai bagi mendapatkanpendapat mereka, namun kita tidak mendengar apa-apa berkaitan itu.”

Katanya, kerajaan sepatutnya berbelanja secara berhemah dan bukan untuk inisiatif yang tidak membawa hasil.

Beliau menggesa kerajaan mengambil pendekatan lebih inklusif dan komprehensif dalam menyelesaikan masalah pengangguran.

Katanya, sekadar membuka semula ekonomi adalah pendekatan terlalu mudah yang tidak mencukupi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.