
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Along, 49, berkata, dia dihalang oleh petugas yang membuat kawalan di laluan keluar masuk kawasan petempatan berkenaan walaupun telah menunjukkan bukti janji temu untuk menerima dos kedua vaksin, hari ini (9 Ogos).
Bagaimanapun katanya, selepas perbincangan panjang antara dia dan petugas di situ, dia akhirnya ‘dilepaskan’ untuk ke Putatan bagi mendapatkan vaksin.
“Saya tidak faham kenapa perlu saya ditahan dan dihalang sedangkan saya telah menunjukkan bukti janji temu dalam (aplikasi) MySejahtera.
“Kalau janji temu saya untuk dos pertama mungkin tindakan mereka menghalang saya betul kerana tarikh itu boleh ditunda, tapi ini dos kedua, bukankah seseorang itu perlu mengambil dos kedua mengikut tempoh ditetapkan?,” soalnya.
Along berkata, alasan yang diberikan petugas yang menghalangnya ialah dia perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dulu sebelum dibenarkan keluar.
Dia juga mendakwa, perkara itu turut berlaku kepada beberapa lagi penduduk di kawasan berkenaan yang sepatutnya menerima dos kedua vaksin tetapi tidak dibenarkan keluar.
“Saya juga telah menghubungi beberapa kenalan termasuk pihak berkuasa yang memaklumkan saya sepatutnya boleh keluar untuk mendapatkan vaksin.
“Mungkin ada peraturan baharu, tetapi setakat saya tahu, mereka yang mempunyai janji temu menerima vaksin dibenarkan keluar walaupun berada di dalam kawasan PKPD.
“Saya harap pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap perkara ini dan jika ada peraturan baharu, maklumkan kepada penduduk agar mereka faham. Selain saya, anak saya juga akan menerima vaksin pada Rabu ini dan begitu juga adik saya pada minggu depan, adakah mereka juga akan dihalang?,” katanya.
Rumah Murah Kepayan antara lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD bermula 8 hingga 21 Ogos dan ini kali kedua kawasan berkenaan dikenakan perintah itu selepas kali pertama pada Jun lalu.
Sementara itu, FMT cuba mendapatkan respons daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19.
Terdahulu pada Julai lalu, Menteri Kanan Pertahanan ketika itu, Ismail Sabri Yaakob berkata, semua penduduk di kawasan PKPD dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin.
Selain itu, Ismail yang kini Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, kebenaran juga diberikan kepada mereka yang ingin pulang ke kampung untuk membawa ahli keluarga bagi mendapatkan suntikan vaksin sama ada di luar daerah atau negeri.