Jangan longgar peraturan dulu, kata MMA

Jangan longgar peraturan dulu, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia menggesa Putrajaya menangguhkan kelonggaran SOP bagi individu yang lengkap divaksin menjelang penguatkuasaannya esok.

Persatuan Perubatan Malaysia mempersoalkan kenapa ibu bapa dan suami isteri dibenarkan merentas negeri.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Putrajaya menangguhkan kelonggaran SOP bagi individu yang lengkap divaksin, menjelang penguatkuasaannya esok.

Dalam kenyataan, Presidennya Dr Subramaniam Muniandy mempertikaikan asas saintifik di sebalik membenarkan hanya ibu bapa atau suami isteri yang lengkap divaksin untuk merentas negeri bagi menemui pasangan atau anak mereka.

“Sama keadaan cukup selamat untuk mereka yang divaksin lengkap membuat perjalanan – bererti semua individu terbabit patut dibenarkan – atau tidak, bererti tidak siapa pun patut mengembara,” katanya.

Katanya, data saintifik mesti menjadi faktor penentu untuk melihat negeri mana boleh diberikan kelonggaran, dengan beberapa negeri bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini melihat peningkatan trend jangkitan.

Subramaniam berkata, perkara utama perlu dipertimbangkan adalah berkaitan dengan penggunaan katil hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

Beliau menggesa kerajaan tidak menggembar-gemburkan kes harian baharu Covid-19 sebaliknya memaklumkan perkembangan kadar positiviti dan status penggunaan katil serta ICU di setiap negeri.

“Ini adalah indikator lebih bermakna selain bilangan kes baharu harian. Adalah penting orang ramai dimaklumkan mengenai kapasiti katil dan status ICU di negeri mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya kadar vaksinasi individu berisiko tinggi didedahkan, dengan menambah kelonggaran terhadap SOP mesti mengambil kira kesejahteraan golongan seperti rumah penjagaan, pelajar perubatan dan pekerja yang tidak berdokumen.

Kerajaan mengumumkan kelonggaran terhadap sekatan pergerakan mulai esok.

Antara lain, pasangan jarak jauh akan dibenarkan merentas sempadan untuk saling bertemu, begitu juga ibu bapa untuk melawat anak mereka yang berusia bawah 18 tahun. Kelonggaran itu terpakai bagi semua negeri.

Bagi negeri Fasa 2 PPN, perjalanan merentas daerah, makan secara “dine-in” di restoran dan aktiviti sukan individu turut dibenarkan.

Rafidah persoal apa langkah berjaga-jaga diambil Putrajaya

Sementara itu, bekas menteri persekutuan Rafidah Aziz turut mempertikaikan kelonggaran SOP dengan menyoal Putrajaya apa langkah berjaga-jaga yang akan dilaksanakan untuk mengelak kes atau kluster baharu Covid-19.

Dalam catatan di Facebook, beliau menyoal sama ada suami isteri atau ibu bapa yang merentas sempadan negeri masih perlu menjalani ujian untuk memastikan mereka bukan pembawa virus yang tidak bergejala, seterusnya menjangkiti orang tersayang pula dengan Covid-19.

“Adakah kerajaan telah menggariskan SOP keselamatan wajib seperti ujian sebelum dan selepas perjalanan dilakukan bagi setiap individu ini?

“Atau adakah kerajaan ‘okay’ saja dengan percambahan kluster baharu yang pasti membebankan lagi kakitangan penjagaan kesihatan kita?

“Adakah kerajaan telah mandatkan bahawa setiap premis yang dibenarkan beroperasi turut mesti memastikan setiap pekerjanya diuji, divaksin dan diuji secara kerap?

“Wajibkan untuk melakukan ujian, vaksinasi, dan ujian semula pantas secara kerap di setiap sektor ekonomi, barulah ekonomi boleh dibuka semula secara berkesan dan selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.